JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Lebih 2,000 Penduduk Meriahkan Siri Jelajah Karnival Takaful Masuk Kampung Di Sarawak

11/11/2024 10:17 AM

KUCHING, 10 Nov (Bernama) -- Lebih 2,000 penduduk daripada 20 kampung sekitar sini menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif yang dibawa dalam program Karnival Takaful Masuk Kampung (TMK) di Dewan Serbaguna Kampung Semariang Batu hari ini. 

Ketua pegawai eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Mohd Radzuan Mohamed berkata inisiatif berkenaan digerakkan bagi memberi pendedahan, panduan, pendidikan kepentingan pengurusan kewangan serta penekanan tentang kepentingan perlindungan Takaful.

“Melalui program ini juga masyarakat akan lebih mengetahui tentang hal-hal semasa seperti isu ‘scam’ membabitkan kewangan dan juga pengurusan kredit.

“Sepanjang hari ini selain daripada kenduri rakyat, kami juga bawakan program celik kewangan yang akan memberi kesan tentang perancangan wang yang lebih baik,” katanya ketika berucap di Karnival TMK berkenaan, di sini, hari ini. 

Program TMK yang memasuki penganjuran kali keenam itu juga menjadi antara usaha MTA untuk menggalakkan pemahaman lebih mendalam terhadap perlindungan kewangan yang selaras dengan prinsip muamalat Islam.

Mohd Radzuan berkata pelaksanaan program karnival itu merupakan permulaan bagi siri Jelajah Negeri Sarawak yang akan berlangsung di beberapa lokasi di seluruh negeri. 

“Pada 14 hingga 16 Nov ini, MTA dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit akan berada di Lundu bersama pelajar dari Kolej Vokasional sekitar Negeri Sarawak bagi program Celik Kewangan.

“Kemuncaknya adalah pada 15 hingga 17 Nov, kami akan berada di Viva City Mall, Kuching untuk bersama Bank Negara Malaysia dalam Karnival Celik Kewangan yang mengandungi pelbagai program dan aktiviti-aktiviti menarik,” katanya.

Program TMK di Sarawak dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya. 

Program TMK disokong oleh pengendali Takaful seperti Etiqa General Takaful Berhad, Etiqa Family Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad, Takaful IKHLAS Berhad, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad serta MySalam. 

MTA dan wakil industri juga hadir di Sarawak bagi menubuhkan ‘Sarawak Chapter’ untuk melancarkan pelan transformasi strategik Hijrah27, bertujuan memastikan perkembangan industri Takaful yang lebih mampan, inklusif, komprehensif, selari dengan aspirasi masa depan industri Takaful di negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan