JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kehadiran Kapal Persiaran Mewah Lonjak Kemasukan Pelancong Ke Melaka

11/11/2024 02:00 PM

MELAKA, 11 Nov (Bernama) -- Pemilihan Melaka sebagai destinasi persinggahan kapal persiaran mewah Genting Dream Cruise mampu menjadi elemen tambah nilai untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Melaka dalam usaha mencapai sasaran 18 juta pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024). 

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kehadiran kapal persiaran itu juga melonjakkan imej Melaka sebagai destinasi pelayaran popular di Malaysia malah Asia, yang sekali gus menarik pengendali kapal-kapal persiaran antarabangsa lain untuk berlabuh di Melaka pada masa akan datang. 

"Setakat ini kita telah menerima 11.25 juta pelancong dan dengan pertambahan serta sokongan daripada Genting Dream Cruise yang akan berlabuh setiap Isnin selama setahun di sini, pastinya ia menambah nilai  kepada sektor pelancongan di Melaka. 

"Ini kerana jika diperbandingkan, sebuah pesawat boleh bawa 300 hingga 400 orang penumpang tetapi dengan kapal pelayaran ini yang nisbahnya lebih besar, ia seumpama 10 pesawat jenis 380 mendarat di Melaka dan dapat membawa lebih 4,000 penumpang," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita di Majlis Sambutan Pelayaran Sulung Kapal Persiaran Genting Dream Cruise Singapura-Melaka-Singapura di jeti Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka di sini hari ini. 

Terdahulu, beliau dan Presiden Resort World Cruises Michael Goh serta 3,881 penumpang tiba dari Harbour Bay, Singapura di ICQS Melaka sekitar 8.40 pagi ini, dan ketibaan pertama kapal persiaran mewah tersebut diberi sambutan meriah dengan paluan kompang dan gendang serta persembahan tradisonal mewakili pelbagai masyarakat di negeri ini. 

Abdul Rauf berkata pakej 2 Night Cruise dari Singapura-Melaka-Singapura yang bermula hari ini juga akan merancakkan lagi perkhidmatan pengangkutan laut memandangkan setakat Oktober lepas jeti ICQS merekodkan penerimaan 47,997 pelancong dari Bengkalis dan Dumai, Indonesia. 

"Justeru tawaran 52 pelayaran ke Melaka merentasi Selat Melaka oleh Resort World Cruises dilihat akan menampung 200,000 jumlah pelancong setahun malah tempoh berlabuh yang panjang iaitu selama 12 jam di negeri ini juga memberi peluang pelancong meneroka pengalaman sebenar keindahan, keunikan dan sejarah ketamadunan di Melaka," katanya. 

Ab Rauf berkata sempena pelayaran kali pertama itu juga, kerajaan negeri turut memberikan insentif kemasukan percuma kepada pelancong kapal persiaran berkenaan ke beberapa lokasi tumpuan seperti Menara Taming Sari, Muzium Sejarah dan Etnografi, Melaka River Cruise serta menyaksikan persembahan di Encore Melaka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan