JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Penyasaran Subsidi Kesihatan Awam Mampu Dilaksana - Dr Dzulkefly

12/11/2024 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penyasaran subsidi kesihatan awam sedang diteliti dan dilihat mampu dilaksanakan dengan algoritma dan sifir khusus.

Beliau berkata penyasaran subsidi dalam sektor kesihatan dapat membantu menjana pendapatan kerajaan memandangkan caj dikenakan di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dianggarkan hanya 10 peratus daripada caj pasaran semasa.

Dzulkefly berkata KKM bersedia melakukan kajian lebih teliti mengenai jumlah kelompok T15 yang datang mendapatkan rawatan di fasiliti KKM dan menentukan dasar bersesuaian kepada mereka ketika menerima rawatan di hospital awam.

"Pada akhirnya yang menjadi keutamaan KKM adalah penawaran rawatan yang adil dan saksama dari segi status pendapatan," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi KKM di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas berkata penyasaran subsidi akan turut melibatkan kesihatan awam dengan golongan berpendapatan tinggi wajar menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan lebih baik di hospital kerajaan.

Anwar berkata penjimatan diraih dapat dimanfaat bagi membiayai peranti perubatan untuk pesakit miskin dan menaik taraf peralatan hospital dan klinik awam.

Mengenai pelaksanaan program Logo Pilihan Lebih Sihat (HCL) bertujuan membantu pengguna membuat pilihan lebih sihat dengan memilih makanan dan minuman yang mempunyai logo HCL, Dzulkefly berkata 791 produk telah berjaya mendapat pengiktirafan HCL hingga Oktober lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 565 daripadanya adalah produk minuman dan 118 produk kumpulan susu dan produk tenusu manakala 108 produk bijirin, kacang dan bijian, sos, produk ikan dan makanan siap saji seperti makanan sejuk siap pek.

"Sebagai kesinambungan, KKM sedang memperluas program HCL kepada menu hidangan makanan dan minuman yang disediakan di premis makanan iaitu Healthier Dining Program (MyChoice)," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan