JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

MITRA Lulus Hampir RM100 Juta Laksana Inisiatif Perkasa Masyarakat India - Ramanan

13/11/2024 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) telah meluluskan 14 inisiatif yang bernilai hampir RM100 juta tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata inisiatif-inisiatif tersebut merangkumi pelbagai aspek termasuk ekonomi, kerjaya, pendidikan, kebajikan dan sosial.

“Antara inisiatif yang telah dan sedang dalam pelaksanaan adalah program Malaysian Indian Skills Initiative (MISI) bernilai RM10 juta, program subsidi pendidikan awal tadika swasta bernilai RM9.38 juta, program bantuan awal kemasukan ke IPT MITRA bernilai RM25 juta dan program subsidi dialisis MITRA bernilai RM7.9 juta,” katanya.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini beliau berkata, MITRA juga menjadi tonggak utama kerajaan dalam memperkasa masyarakat India.

Untuk meningkatkan akses kepada latihan teknikal dan vokasional pula, Ramanan berkata kursus-kursus yang dapat memberi peluang pekerjaan yang lebih luas kepada masyarakat India juga sedang dikendalikan dan disediakan.

“MITRA juga akan fokus kepada program pembangunan usahawan serta sokongan dalam meningkatkan penglibatan masyarakat India dalam sektor perniagaan dan perdagangan. Di samping itu sokongan kepada ekonomi gig dalam kalangan belia India juga akan diberikan penekanan.

“Peningkatan kualiti masyarakat India juga perlu ditangani melalui pengukuhan sistem kebajikan sosial. MITRA akan memainkan peranan utama dalam merangka program yang dapat menurunkan kadar kemiskinan dalam komuniti masyarakat India,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan