JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Saya Amat Berbesar Hati Dikurniakan Penghormatan Tertinggi Kerajaan Peru - PM

14/11/2024 04:08 AM

Daripada M. Saraswathi

LIMA (Peru), 14 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau amat berbesar hati apabila dikurniakan penghormatan tertinggi kerajaan Peru iaitu Order of the Sun of Peru atau ‘El Sol del Peru.’

“Saya difahamkan bahawa anugerah yang amat berpestij ini diperkenal sebaik sahaja Peru mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Sepanyol pada 1821, menjadikan ia sebagai penghormatan untuk awam yang tertua di benua Amerika.” 

“Sebagaimana penghormatan lain yang saya terima ketika menyandang jawatan Perdana Menteri, saya menerima anugerah ini bagi pihak rakyat Malaysia. Kami akan menghargai pengurniaan pingat ini sebagai simbol persahabatan antara kedua-dua negara,” katanya selepas menerima pingat itu di Istana Kerajaan di sini pada Rabu.

Pengurniaan pingat itu disempurnakan oleh Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra.

Anwar berkata Peru memiliki beberapa kebiasaan yang tidak boleh dipandang enteng, “Seperti Malaysia, ia terdiri daripada masyarakat berbilang budaya yang pesat berkembang dengan kepelbagaian ekosistem yang serupa dengan kita.”

“Kedua-dua negara juga sedang berusaha untuk menyesuaikan diri susulan peningkatan dalam peralihan geopolitik dan persaingan ekonomi,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata Malaysia melihat potensi yang besar dalam usaha memperkukuh kerjasama di bidang seperti perdagangan, pelaburan dan mempromosikan kepentingan Selatan Global. 

“Kekangan jarak tidak akan menghalang kita daripada menjalinkan kerjasama yang saling menguntungkan,” katanya.

Anwar berkata justeru itu, beliau berharap ini akan menjadi permulaan baharu dalam perhubungan kedua-dua negara. 

“Terdapat banyak faedah yang kita boleh capai bersama,” kata beliau.

Pingat El Sol del Peru, atau Matahari Peru, darjah Gran Cross, dianugerahkan kepada raja, ketua negara, ketua kerajaan, menteri luar negeri, menteri negara, duta asing bertauliah atau presiden pihak berkuasa awam.

Insignia Grand Cross adalah gabungan lencana The Grand Office, selempang ungu yang dipakai di bahu kanan, dengan pingat Komander yang digantung pada selempang itu.

Selain itu, butang berwarna mengikut warna perintah itu, dipakai di bahagian atas sut dan sijil penghargaan turut diberikan.

Lawatan Anwar, termasuk penyertaan beliau dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 dari 14 hingga 16 Nov, dijangka memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Peru.

Anwar, yang juga menteri kewangan, tiba di sini pada 12 Nov lepas.

Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Lawatan itu turut disertai Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii, bersama pegawai kanan kerajaan.

Peru, sebuah negara di barat Amerika Selatan, bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di utara dan Brazil di timur.

Lima, ibu negara Peru dengan populasi 11.36 juta, menjadi tuan rumah mesyuarat APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan