Daripada M. Saraswathi
LIMA (Peru), 14 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra telah menerima jemputan beliau untuk berkunjung ke Malaysia dan akan berbuat demikian pada akhir tahun depan.
“Saya telah menjemput Presiden Dina Ercilia untuk berkunjung ke Malaysia dan beliau menerima jemputan saya,” katanya selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemimpin itu di Istana Kerajaan di sini pada Rabu.
Beliau juga berkata mesyuarat itu adalah susulan pertemuan pertama mereka di luar Minggu Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC di San Francisco, Amerika Syarikat pada November 2023.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke negara Amerika Latin itu sejak menyandang jawatan berkenaan pada 2022.
Lawatan Anwar, termasuk penyertaan beliau dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 dari 14 hingga 16 Nov, dijangka memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Peru.
Peru, sebuah negara di barat Amerika Selatan, bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di utara dan Brazil di timur.
Lima, ibu negara Peru dengan populasi 11.36 juta, menjadi tuan rumah mesyuarat APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial