JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Projek Jalan Pesisir Pantai-kuala Sanglang Sokong Pembangunan Impak Tinggi Perlis

15/11/2024 10:22 AM

Oleh Nurrul Huda Ahmad Lutfi

KANGAR, 15 Nov (Bernama) -- Projek pembinaan jalan menghubungkan Jalan Pesisir Pantai ke Kuala Sanglang di Arau yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 akan dapat menyokong pembangunan berimpak tinggi iaitu Projek Jeti Bersepadu Sanglang (SIJ) di Perlis, kata Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.

Beliau berkata projek tersebut sangat signifikan kepada kerajaan negeri Perlis kerana ia amat diperlukan untuk projek SIJ yang masih di peringkat awal berikutan kapasiti dan kuantiti kenderaan akan bertambah pada masa hadapan.

"Pembangunan bersifat dinamik, apabila ada sesuatu pembangunan baharu maka akan ada 'kesan berganda', baik dari segi ekonomi malah juga infrastruktur sokongan baharu seperti jalan raya lebih lebar dan jambatan lebih besar merentasi sungai-sungai di sepanjang pesisir pantai Perlis," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Mohd Shukri berkata projek jalan yang dijangka bermula awal tahun 2026 dengan anggaran kos berjumlah RM195 juta itu akan melibatkan pembinaan sebuah jambatan sepanjang 400 meter dan jalan sepanjang satu kilometer.

Beliau berkata projek jalan itu penting untuk memastikan ketersalinghubungan antara kawasan Kuala Sungai Baru dengan kawasan Kampung Sungai Baru, seterusnya ke Kampung Sungai Padang.

"Ia akan menghubungkan Kampung Jalan Persisiran Pantai dan Kampung Sungai Baru secara terus tanpa perlu melalui jalan kampung. Keadaan jambatan sedia ada telah uzur serta sempit, sukar jika kenderaan berselisih," katanya.

Mohd Shukri projek jalan berkenaan antara lain akan memberikan kemudahan kepada penduduk kampung untuk berhubung serta menjual hasil laut di Bandar Kangar kerana ia memendekkan jarak perjalanan seterusnya menjimatkan masa selain menjadi laluan alternatif kepada penduduk setempat mahupun pengguna lain kelak.

Mengenai status terkini pelaksanaan projek SIJ, Mohd Shukri berkata ia sedang dalam proses permohonan Pelan Kerja Tanah, Pelan Bangunan dan Pelan Jalan dan Perparitan sebelum dijangka dimulakan pada suku pertama tahun depan.

Sementara itu beliau berkata projek menaik taraf Jalan Persiaran Wawasan di Kangar daripada dua lorong kepada empat lorong yang dinyatakan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2025 juga sangat bermanfaat kepada penduduk di Perlis kerana dapat melancarkan lagi aliran trafik di kawasan itu nanti.

"Jalan ini juga merupakan jalan utama bagi penjawan awam dan orang ramai kerana ada bangunan kerajaan seperti Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perlis dan Kompleks Mahkamah," katanya.

Mohd Shukri berkata Jalan Persekutuan itu menghubungkan Jalan Kangar/Alor Setar dan Jalan Raja Syed Alwi, manakala jalan sedia ada sepanjang dua kilometer itu turut menjadi sebagai jalan alternatif untuk pergi ke Kuala Perlis atau Arau dan Padang Besar.

Beliau berkata projek menaik taraf Jalan Persiaran Wawasan itu dijangka bermula awal tahun 2026 dengan anggaran kos sebanyak RM80 juta.

Menteri Bear itu berkata kedua-dua projek jalan berkenaan akan membantu ketersalinghubungan dalam Perlis, dan kerajaan negeri menjangkakan pembangunan akan tertumpu di sepanjang jajaran jalan seperti digariskan dalam Rancangan Struktur Negeri (RSN) 2030.

"Oleh itu harapan saya pelaksanaan kedua-dua projek jalan ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan merancakkan lagi ekonomi penduduk di negeri Perlis ini," katanya.

Mohd Shukri berkata beliau sebagai Menteri Besar amat gembira dengan pengumuman dua projek jalan menerusi belanjawan berkenaan dan berterima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri terhadap aspek pembangunan negeri Perlis.

Projek pembinaan Jalan Pesisir Pantai ke Kuala Sanglang serta projek menaik taraf Jalan Persiaran Wawasan yang diumumkan Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas berada di bawah Ikhtiar Keenam iaitu Pembangunan Terangkum.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan