JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Laporan Interim Kajian Pengasingan Kuasa Akan Dibentang Kepada Jemaah Menteri

15/11/2024 05:44 PM

PUTRAJAYA, 15 Nov (Bernama) -- Laporan interim hasil kajian pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dibentang kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kerajaan kekal komited dalam usaha mereformasi fungsi Peguam Negara, dengan langkah kajian empirikal pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Beliau berkata kajian berkenaan telah dimulakan tahun ini dengan kajian empirikal antaranya di Australia dan Kanada. 

“Beberapa siri perbincangan meja bulat (turut diadakan) bersama pakar perundangan, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat civil ataupun CSO dalam dan luar negara.

“Pada 2025 pula, beberapa sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan berhubung perkara ini akan dilaksana dan satu laporan interim hasil kajian akan dibentang kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini hari ini,

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata inisiatif pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dilaksana secara berfasa selama dua tahun melalui kajian empirikal di tiga negara iaitu Kanada, Australia serta United Kingdom.

Beliau berkata pelaksanaan kajian itu dipersetujui Jemaah Menteri pada 31 Jan lepas dengan kajian empirikal yang pertama akan dilaksana di Kanada pada Mei tahun ini.

Sementara itu Fahmi berkata pelantikan Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebagai Peguam Negara baharu adalah mengikut lunas undang-undang dan ia seperti yang diperuntuk dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pelantikan Mohd Dusuki Mokhtar sebagai Peguam Negara adalah di atas pertimbangan beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pendakwaan selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan di Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Dusuki, 57, dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 12 Nov lepas menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Pelantikan Mohd Dusuki telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan