JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Projek Fasa Pertama Tambah Baik Laluan Sehala Pekan Tapah Selesai - Nanta

01/05/2025 06:20 PM

TAPAH, 1 Mei (Bernama) -- Fasa pertama kerja-kerja menambah baik projek penyuraian trafik laluan sehala di pekan Tapah di sini siap sepenuhnya melibatkan peruntukan RM2.2 juta daripada Kementerian Kerja Raya (KKR).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang meninjau lokasi tapak itu (FT001) hari ini berkata keadaan trafik di kawasan berkenaan bergerak lancar.

“Kami (KKR) datang untuk melawat tapak yang baru sahaja siap ini untuk menyuraikan trafik, untuk memastikan pengguna jalan raya kita lebih selesa dan selamat.

“Saya sendiri sudah lalui tadi bersama JD (Jurutera Daerah) dalam kereta beliau. Sekarang trafik agak lancar dan sebelum turun ke tapak, kami ada bermesyuarat di pejabat JKR (Jabatan Kerja Raya) daerah sini dan banyak dibincangkan kerja-kerja akan datang untuk ditambah baik,” katanya kepada pemberita.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Azman Ibrahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir, Timbalan Ketua Pengarah JKR (Sektor Infra) Mohd Shahrom Ahmad Saman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang Choong Shin Heng dan ADUN Ayer Kuning Dr Mohamad Yusri Bakir.

Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan kerja-kerja menambah baik laluan sehala di pekan Tapah itu dimulakan pada 7 April lepas dan dijangka selesai dalam tempoh tiga minggu.

Dalam pada itu, Nanta berkata KKR akan memperhalusi cadangan pelebaran Jambatan Sungai Batang Padang sebagai penambahbaikan jangka panjang kepada projek penyuraian trafik berkenaan.

“Kita (KKR) sudah terima cadangan (pelebaran jambatan itu) tadi, JD pun sudah beritahu ini dalam cadangan. Jadi, kami teliti dulu, tetapi oleh kerana letaknya ini (cadangan projek itu) di negeri, kami harus mengikut keutamaan negeri. Kalau itu diberi keutamaan yang tinggi, memang mudah kami angkat untuk mohon daripada Kementerian Ekonomi untuk diluluskan.

“Saya difahamkan, kalau kita tambah satu lorong lagi ia mungkin menelan kos RM15 juta. Kami akan mencari bagaimana dapat RM15 juta itu, tetapi cadangan itu perlu juga diangkat di peringkat negeri kepada kami,” katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan pembinaan lebuh raya West Ipoh Span Expressway (WISE) menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar, Nanta berkata KKR telah menyerahkan surat kelulusan kepada pihak pemaju dan mereka perlu melakukan kerja-kerja yang sepatutnya dalam tempoh ditetapkan.

“Dua tahun saya ingat (tempoh kerja-kerja perlu diselesaikan). Lebih-lebih lagi saya difahamkan dari segi kewangan. Jadi, kita tidak mahu ganggu mereka sebab itu urusan mereka kerana kami sudah buat perjanjian,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Lebuh raya WISE sepanjang 60 kilometer itu bakal dilengkapi tiga lorong dua hala dengan laluannya bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar dan seterusnya Kuala Kangsar.

Pembinaan WISE juga sebagai alternatif pengguna selain menggunakan laluan di Terowong Menora,

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan