JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Anwar Makan Tengah Hari Di Bandar Saujana Putra

02/05/2025 03:14 PM

BANTING, 2 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa makan tengah hari bersama masyarakat di Restoran Kedai Papan, Bandar Saujana Putra, dekat sini.

Ketibaan Anwar pada 12.50 tengah hari disambut Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan dan pemilik restoran Muhammad Shazreen Md Dewa serta Pengerusi Tekun Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Beliau meluangkan masa kira-kira 15 minit berbual bermesra dengan pengunjung sambil menikmati nasi berlauk serta menu yang terkenal Restoran Kedai Papan iaitu jemput-jemput pisang (cekodok pisang) sebelum menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat setempat di Masjid Bandar Saujana Putra.

Muhammad Shazreen, 34,  yang ditemui sedikit terkejut, namun teruja apabila dimaklumkan bahawa Perdana Menteri akan singgah menikmati makan tengah hari di restorannya hari ini.

Beliau yang mengusahakan perniagaan masakan nasi berlauk ‘ala kampung’ sejak 2019 itu bersyukur kerana daripada banyak kedai-kedai makan yang ada di situ, restoran miliknya menjadi pilihan.

“Saya bersyukur kerana kerana kedai saya jadi pilihan… pada saya ini merupakan satu tuah yang tidak semua orang akan dapat,” katanya kepada Bernama.

Ditanya mengenai menu yang disediakan kepada Perdana Menteri, bapa kepada seorang anak berusia setahun itu berkata sebenarnya tiada yang istimewa, kerana makanan yang dihidangkan hari ini sememangnya menu biasa dijual setiap hari di restoran itu .

Muhammad Shazreen juga berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi berkunjung ke restorannya selain sempat menitipkan pesanan kepadanya supaya mengembangkan lagi perniagaan kerana bangga melihat anak muda yang berusaha untuk maju dalam kehidupan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan