JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Tujuh Maktab Tabung Haji Di Makkah Bersedia Terima Jemaah

03/05/2025 06:50 PM

Daripada Nurliyana Farah Ruslan

MAKKAH, 3 Mei (Bernama) -- Tujuh maktab Tabung Haji (TH) di sini kini bersedia untuk menerima ketibaan 838 jemaah haji Malaysia dari Madinah, yang akan tiba secara berperingkat bermula esok (4 Mei).

Pengarah Operasi Maktab Mohd Fahmi Kamarudin berkata semua kemudahan dan fasiliti di setiap maktab berkenaan, telah disiapkan dan dapat digunakan sebaik sahaja ketibaan para jemaah.

“Alhamdulillah, semua persiapan berjalan lancar dan kumpulan pertama (KT001) dijangka tiba sekitar pukul 5 petang waktu tempatan esok dan akan menginap di Bangunan Penginapan Jemaah Haji (BPJH) di Zon A, kawasan Syed Amir. 

“Ia akan disusuli oleh kumpulan KT002 yang dijadualkan tiba di bangunan Land Premium, Zon C pada jam 8 malam, dan KT003 di bangunan Abraj Tayseer, Zon B (kawasan Hafai) sekitar jam 11 malam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Tabung Haji, di sini.

Mohd Fahmi berkata penempatan jemaah haji di tujuh maktab di Makkah dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon A, B dan C.

“Di Zon A iaitu Shuib Amir, menempatkan bangunan Abraj Al Janadriyah dan Qasr Al Janadriyah; Zon B iaitu Hafae’r menempatkan bangunan Rehab Janadriyah, Abraj Al Tayseer dan Diary Al-Saad.

“Zon C iaitu Misfalah pula menempatkan bangunan Land Premium dan Al Fajr Al Badee 5,” katanya.

Mohd Fahmi turut memaklumkan bahawa satu bangunan penginapan baharu akan digunakan jemaah Malaysia pada musim ini, iaitu di Abraj Al-Tayseer (Zon B), yang terletak kira-kira satu kilometer daripada dataran Masjidil Haram ke pintu masuk bangunan.

“Bangunan ini akan menempatkan kira-kira 6,700 jemaah haji dan dilengkapi dengan kemudahan untuk keselesaan mereka sepanjang tempoh berada di Makkah,” katanya.

Beliau berkata setiap maktab juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk klinik kesihatan, kaunter khidmat pelanggan, kaunter bimbingan ibadat, kaunter pengeluaran wang, kemudahan dobi, serta kedai runcit bagi memenuhi keperluan harian jemaah haji.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan