JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Pemuda Dikhuatiri Lemas Ketika Memancing

04/05/2025 06:18 PM

KOTA BHARU, 4 Mei (Bernama) -- Seorang pemuda berusia 27 tahun dikhuatiri lemas ketika memancing di Sungai Kampung Kebik, Tumpat malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat Pegawai Bomba Kanan II Lizan Abu Bakar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.20 pagi.

“Pasukan operasi digerakkan ke lokasi pada 3.33 pagi. Namun, jentera bomba tidak dapat menghampiri kawasan kejadian disebabkan jalan yang sempit dan anggota terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke lokasi.

“Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, bapa mangsa Mohd Daud Che Hussin, 56, berkata anaknya, Mohd Salam, yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik, keluar memancing kira-kira pukul 9 malam.

“Sudah menjadi rutin anak saya keluar memancing di sungai berdekatan, yang terletak kira-kira enam kilometer dari rumah kami.

“Saya berharap operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan pihak bomba dapat menemukan anak saya secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Pejabat Zon Kota Bharu Ibrahim Safin berkata Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor telah melakukan empat selaman di dasar sungai berkenaan setakat 4 petang tadi.

"Sebanyak lapan anggota PPDA ditugaskan untuk mencari di dasar sungai secara penggiliran, bagaimanapun kita masih belum menemukan sebarang petunjuk. Keadaan sungai yang dipenuhi ranting, pukat dan barangan lain juga menyukarkan operasi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ibrahim berkata radius operasi mencari dan menyelamat di permukaan air juga diperluas hingga 1 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan tergelincir, dan operasi akan disambung esok sekiranya mangsa tidak ditemukan pada 7 malam ini.

Dalam pada itu, Mohd Daud berkata dia turut membantu pasukan penyelamat dengan melaungkan azan agar diberi petunjuk oleh Allah supaya anaknya yang baru meminati hobi memancing beberapa bulan lepas itu ditemukan dengan selamat.

"Sudah berkali-kali saya mengingatkan kepadanya agar menjaga diri kerana khuatir berlaku perkara tidak diingini … boleh dikatakan hampir setiap malam dia akan pergi ke sungai berdekatan untuk memancing, lazimnya dia keluar seorang atau bersama rakan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan