JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Konsert Mega PMR 2025 Sabah Tampil Barisan Artis Popular

04/05/2025 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah bakal dimeriahkan dengan penganjuran Konsert Mega Tawau yang menampilkan barisan artis popular tanah air.

Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook hari ini memaklumkan konsert yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau pada 8 malam 10 Mei itu antaranya akan menampilkan Datuk Awie, Stacy, Akim, Felix Agus dan Tekun Band.

“Konsert ini merupakan satu pengisian utama PMR 2025 Sabah yang membawa tema 'Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan'.

“Melalui gabungan hiburan, pameran perkhidmatan kerajaan serta penglibatan usahawan tempatan, program ini bukan sekadar meriah tetapi turut menjadi platform penting memperkasa ekonomi rakyat dan menyemai semangat perpaduan komuniti Sabah,” menurut hantaran itu.

Antara aktiviti yang diketengahkan pada PMR 2025 Sabah, yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 Mei, ialah pemeriksaan kesihatan, khidmat nasihat sosial, pameran perkhidmatan kerajaan dan program integrasi komuniti pelbagai kaum.

Program itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kerajaan Negeri Sabah.

Ia turut melibatkan penyertaan agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta pelaksanaan inisiatif bantuan berlandaskan lima teras utama iaitu Perumahan, Pendidikan, Pekerjaan, Kebajikan dan Keusahawanan serta Latihan.

Peluang pendidikan dan kerjaya juga diberi penekanan melalui penganjuran Karnival Kerjaya dan program Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) manakala Jualan MADANI pula menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

Majlis Penutupan PMR 2025 Sabah akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 petang 11 Mei ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan