JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kerajaan Bincang Keperluan Perluas Program FLYSiswa - Anwar

05/05/2025 06:13 PM

SHAH ALAM, 5 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan membincangkan keperluan memperluas inisiatif FLYSiswa yang menawarkan subsidi tiket penerbangan, kepada subsidi bagi tambang pengangkutan darat untuk pelajar di Semenanjung.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif tahunan Kementerian Pengangkutan itu mungkin boleh dilaksanakan bagi perjalanan atau destinasi tertentu di Semenanjung.

“Kenapa FLYSiswa untuk Sabah dan Sarawak? Sebab kita semua maklum tiket penerbangan ke sana itu mahal, terutama ketika musim perayaan… jadi kita putuskan untuk bantu.

“Mengenai FLYSiswa di Semenanjung, saya akan bincang dengan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke), mungkin untuk kawasan spesifik atau kawasan tertentu kita boleh bincangkan pelaksanaannya,” katanya pada Program Temu Anwar Universiti Swasta Management and Science University (MSU) di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan seorang peserta yang mencadangkan kerajaan memperluas inisiatif FLYSiswa kepada pengangkutan darat untuk pelajar di Semenanjung.

Inisiatif FLYSiwa adalah bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pelajar matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi laluan domestik di antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Sementara itu Anwar berkata Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) sedang merangka program yang bersesuaian bagi mengembangkan Program Felo Perdana untuk membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda menimba pengalaman daripada kepimpinan negara.

Perdana Menteri berkata kerajaan melihat program yang diperkenalkan 10 tahun lepas itu sebagai platform terbaik bagi mahasiswa memahami hala tuju dan budaya kerja kerajaan di peringkat tertinggi, sekali gus mengelak mereka daripada terpengaruh dengan tuduhan tidak berasas mengenai kerajaan.

“Kita akan bincang supaya mereka yang tidak berpeluang menyertai Program Felo Perdana, diberi ruang lain untuk bertemu dan belajar sesuatu dengan pimpinan kerajaan, Menteri dan Timbalan Menteri. 

“Perkara ini sedang diuruskan oleh Akademi Kenegaraan (Malaysia) dan pihak lain yang berkaitan bagi membolehkan lebih ramai golongan belia menimba ilmu berkenan pentadbiran dan budaya kerja,” katanya.

Sebelum ini Anwar dilaporkan berkata Program Felo Perdana merupakan platform terbaik untuk golongan belia menerima pendedahan tentang hala tuju, gerak kerja dan budaya kerajaan di peringkat tertinggi.

Perdana Menteri berkata beliau percaya program itu juga dapat membuatkan golongan bakal memimpin negara di masa akan datang lebih memahami dasar kerajaan.

Program Temu Anwar yang julung kali diadakan dengan universiti swasta dan disertai oleh 4,000 pelajar itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud, Naib Canselor MSU Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid dan Presiden MSU Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan