JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Tunku Zain Al-'Abidin Dilantik Sebagai Canselor Kedua Universiti UCSI

14/05/2025 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Universiti USCI melantik Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz sebagai Canselor baharu, menjadikannya pelantikan kedua dalam sejarah 39 tahun institusi pendidikan berkenaan.

Menurut kenyataan UCSI University, Tunku Zain Al-‘Abidin, yang mula menyertai UCSI pada 2021 sebagai Pro-Canselor sulung, telah memainkan peranan utama dalam memajukan jejak global universiti itu dan inisiatif pembangunan pelajar.

Dalam kapasiti terdahulu, Tunku Zain Al-‘Abidin telah memberi sumbangan besar terhadap pembangunan kampus cawangan UCSI di Bangladesh dan membantu memperluas kerjasama penyelidikan antarabangsa universiti berkenaan melalui pelbagai libat urus di luar negara.

Awal tahun ini, Tunku Zain Al-‘Abidin dilantik sebagai Penaung Hospital UCSI dan sejak 2023, beliau berkhidmat sebagai Penasihat kepada Kumpulan UCSI.

Pada upacara pelantikan yang diadakan pada istiadat konvokesyen ke-38 universiti berkenaan, Pengerusi Majlis Universiti UCSI Datuk Peter Ng dalam ucapannya menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Tunku Zain Al-‘Abidin.

"Saya yakin bahawa Tunku Zain Al-‘Abidin akan terus memberi inspirasi kepada pelajar, fakulti dan alumni UCSI untuk mencapai kejayaan lebih tinggi. Inspirasi ini bukan sahaja dalam bidang akademik dan profesional, tetapi juga dalam peranan mereka sebagai pencetus perubahan dan warga global.

"Pada dirinya, kita mempunyai Canselor yang mencerminkan nilai-nilai asas penubuhan universiti ini, iaitu keberanian, integriti, ketabahan dan kecemerlangan. Dan pada dirinya juga, kita memiliki suri teladan yang boleh dijadikan contoh oleh pelajar selama beberapa dekad akan datang," katanya dalam kenyataan sama.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor dan Presiden UCSI Prof Emeritus Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir dan Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Seorang tokoh intelektual dan sosial awam terkemuka, Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), yang memperjuangkan reformasi dasar, tadbir urus yang baik dan pembangunan inklusif.

Beliau juga seorang kolumnis, pemain piano berbakat dan penyokong tegar warisan pelbagai budaya di Malaysia.

Selain peranannya di UCSI, Tunku Zain Al-‘Abidin turut berkhidmat sebagai pemegang amanah di Yayasan Chow Kit, Yayasan Munarah, IDEAS dan Genovasi Foundation. Beliau juga Pengerusi Omesti Berhad dan Pengarah Prima Gading Corporation.

Pelantikan beliau dijangka terus memperkukuh komitmen Universiti UCSI terhadap kecemerlangan akademik, inovasi dan impak kepada masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan