JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025: Pelbagai Pengisian Hargai Warga Pendidik

14/05/2025 04:57 PM

KUCHING, 14 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 kali ke-54 yang bermula hari ini hingga Jumaat di sini menampilkan pelbagai pengisian bagi menzahirkan penghargaan kepada warga pendidik serta menonjolkan peranan guru sebagai pemacu reformasi pendidikan negara.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Dr Mohd Azam Ahmad berkata antaranya ialah pertandingan pidato yang menjadi medan untuk menyerlahkan kewibawaan guru dalam menyampaikan idea dan pandangan secara profesional, berfakta dan beretika.

“Pertandingan seperti pidato ini bukan sahaja mengasah kemahiran komunikasi guru, tetapi juga memperlihatkan bagaimana guru menjadi contoh kepada murid dalam menyampaikan pandangan dengan fakta, adab dan penuh keyakinan.

“Kita mahu guru bukan hanya mendidik di bilik darjah, tetapi juga menjadi pemimpin pemikiran yang berani menyuarakan pandangan tentang dasar pendidikan dan masa depan generasi muda negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan pertandingan akhir pidato sempena sambutan itu di sini, hari ini.

Beliau berkata turut diadakan pertandingan bahas ala Parlimen, aktiviti berbentuk kebajikan dan kerohanian, pameran serta Forum Profesional Pendidikan.

Mohd Azam berkata pelbagai aktiviti sambutan dijalankan di tiga lokasi iaitu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Hikmah Exchange (HEC) dan Kuching Waterfront yang menempatkan reruai pameran pendidikan, forum interaktif dan sesi Bicara Profesional yang terbuka kepada pengunjung.

Beliau berkata pada majlis kemuncak sambutan Jumaat ini, sebanyak 32 anugerah akan disampaikan kepada guru yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang inovasi, kreativiti dan pengajaran di kawasan pedalaman, luar bandar dan komuniti Orang Asli.

“Anugerah ini merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap dedikasi dan perjuangan guru dalam menyantuni pendidikan merentasi cabaran geografi dan kekangan sumber. Ia turut mendapat pujian daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam mesyuarat baru-baru ini.

"Kemuncak sambutan ini  berlangsung di BCCK yang turut akan diserikan dengan pengumuman Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan," katanya sambil menambah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri majlis tersebut.

Beliau berkata warga pendidik dari seluruh negara akan menghadiri majlis makan malam bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan