PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Harga beras putih import (BPI) di semua pintu gudang Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak diselaraskan kepada RM2,600 per metrik tan bermula esok.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia merupakan pelarasan kali kedua selepas penurunan harga pada 1 Dis 2024, iaitu daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan.
“Pelarasan ini adalah hasil sesi libat urus bersama BERNAS dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa termasuk perkembangan pasaran global serta keperluan menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara.
“Langkah ini jelas mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI yang berteraskan prinsip keprihatinan dan kesejahteraan rakyat untuk memastikan makanan ruji negara kekal mampu milik, mudah diperoleh dan sentiasa mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad turut memaklumkan program subsidi BPI oleh Kerajaan Persekutuan bagi Sabah dan Sarawak akan diteruskan seperti biasa.
Beliau berkata kejayaan berkenaan juga hasil pendekatan strategik BERNAS mempelbagaikan sumber bekalan beras dari pelbagai negara seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tunggal.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan terus memantau perkembangan pasaran dan memastikan dasar digariskan kekal berpaksikan kepentingan rakyat serta keterjaminan makanan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial