JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Rusia Sahabat Baik Malaysia - PM Anwar

14/05/2025 09:57 PM

MOSCOW, 14 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon sokongan peribadi Presiden Rusia Vladimir Putin untuk melaksana dan mempercepat pelbagai projek termasuk kerjasama dalam bidang teknologi makanan, nuklear dan ketenteraan antara kedua-dua negara.  

"Kami akan memastikan bahawa kerjasama itu meliputi semua bidang," katanya semasa pertemuan dengan Putin di Kremlin pada Rabu.

Anwar juga berkata bahawa Rusia kekal sebagai rakan baik Malaysia, dengan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara telah terjalin sejak 1967.

“Sudah banyak perbincangan dan memorandum persefahaman (diadakan), jadi telah sampai masanya kerjasama itu direalisasikan secepat mungkin,” kata Anwar yang mengetuai delegasi ke Rusia dari 13 hingga 16 Mei.

Beliau berkata pertemuan dengan Putin itu penting memandangkan perbincangan meluas dengan komuniti perniagaan dan ketua industri mengenai pelaburan dalam digital, peralihan tenaga, teknologi makanan, nuklear serta kerjasama ketenteraan.

Semasa pertemuan tersebut Anwar merakamkan ucapan terima kasih terhadap Putin atas penghormatan dan peluang untuk bertemu dan membincangkan isu-isu serta melaksanakannya bagi meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi.

"Kita berbincang dengan panjang lebar (dan) anda telah memberikan kami keistimewaan dan penghormatan yang jarang berlaku; Rusia adalah sebuah negara yang hebat dan sangat penting yang memberikan kami penghargaan sedemikian.

“Dan delegasi saya, sudah tentu, amat menghargainya," kata Anwar, yang juga menteri kewangan.

Beliau berkata pertemuan itu membincangkan pelbagai isu yang memberi manfaat. 

"Kami berharapkan kejayaan dalam mesyuarat dan perbincangan dalam tempoh beberapa hari yang akan datang ini,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan