JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

KPKM Komited Transformasi Sektor Pertanian Lebih Moden, Dinamik

14/05/2025 10:01 PM

ALOR SETAR, 14 Mei (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited untuk mentransformasikan sektor pertanian menjadi lebih moden, dinamik dan berdaya maju.

Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata inisiatif itu akan direalisasikan menerusi program persijilan latihan pertanian yang bertujuan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi sebagai pengusaha pertanian komersial berskala besar.

"Oleh itu golongan belia diseru supaya melihat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian dari perspektif baharu yang semakin moden dan berteknologi tinggi serta semakin canggih," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi libat urus bersama pelatih di MADA Rice Training Centre di sini hari ini, yang dihadiri lebih 250 peserta antaranya dari Institut Latihan TVET Pertanian dan Kolej Pertanian Malaysia Bukit Tangga.

Katanya permintaan industri terhadap tenaga kerja mahir dalam bidang TVET pertanian juga semakin meningkat.

"Kementerian telah memperluas penggunaan teknologi di pusat-pusat latihan termasuk Internet Benda (IOT) bagi pemantauan tanaman dan ternakan secara jarak jauh.

"Selain itu kecerdasan buatan (AI) bagi diagnosis kesihatan tanaman dan ternakan dan simulator pemantauan bot nelayan dan perisian realiti maya (VR) aktiviti penangkapan ikan," katanya.

Arthur berkata KPKM juga berhasrat mentransformasi TVET menjadi nadi kepada pertanian moden yang menggabungkan ilmu teknikal, teknologi terkini dan nilai kemanusiaan.

"Saya percaya para graduan TVET pertanian akan menjadi pakar dalam bidang-bidang yang kritikal seperti agronomi pintar, bioteknologi tanaman, automasi ladang, malah boleh mencipta solusi digital untuk tani di masa akan datang," katanya.

Menurutnya kementerian sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pihak industri bagi memastikan laluan kerjaya selepas tamat TVET jelas dan mampan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan