JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

MSWM Cipta Rekod MBR, Pelopor Teknologi Pemulihan Bateri Litium Mesra Alam

13/10/2025 05:51 PM

NILAI, 13 Okt (Bernama) -- MS Waste Management Sdn Bhd (MSWM) melakar sejarah apabila mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) sebagai syarikat pertama di Malaysia yang melaksanakan Proses Pemulihan Bateri Litium dengan Sistem Kawalan Alam Sekitar Secara Menyeluruh, hari ini.

Pengerusi MSWM Datuk Abdul Rahman Rahim berkata pencapaian berkenaan bersempena dengan pelancaran Fasiliti Pemerolehan Kembali (Recovery) Bahan Buangan Terjadual SW103 Bateri Litium Terpakai, iaitu fasiliti pertama di negara ini dilengkapi teknologi kawalan pencemaran alam sekitar secara bersepadu dan dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Beliau berkata fasiliti berteknologi tinggi itu merupakan langkah signifikan ke arah pengurusan sisa terjadual mampan dan mesra alam sekali gus memperkukuh kedudukan MSWM dalam industri, selain menjadi penanda aras baharu dalam bidang inovasi hijau dan pengurusan sisa terjadual di negara ini.

“Berpengalaman lebih 20 tahun, MSWM komited menyediakan penyelesaian menyeluruh dalam pengurusan sisa terjadual merangkumi analisis, rawatan, kitar semula dan logistik.

"Kami bukan sekadar berorientasikan keuntungan, tetapi turut menyokong aspirasi negara sifar karbon menjelang 2050 serta menekankan pemeliharaan alam sekitar dan pematuhan penuh kepada piawaian antarabangsa,” katanya ketika berucap pada pelancaran Fasiliti SW103 di MSWM Nilai di sini hari ini. 

Sijil pengiktirafan MBR disampaikan Pegawai MBR Menaga Vadamalai kepada Pengarah MSWM Magathevan Anthony disaksikan Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Turut hadir Penasihat Strategik MSWM Datuk Fariz Nazrul Che Noh dan Pengarah Urusan MSWM Datuk A Mariasoosay Arulanandam.

Abdul Rahman berkata MSWM kini memiliki pensijilan ISO 9001, ISO 14001, ISO 45001 dan ISO 37001, sekali gus membuktikan keupayaan syarikat dalam aspek pengurusan kualiti, keselamatan, kesihatan pekerjaan serta tadbir urus antirasuah.

MSWM diasaskan oleh Mariasoosay dan Magathevan itu merupakan peneraju industri pengurusan bahan buangan terjadual di negara ini, dengan beberapa projek baharu berasaskan teknologi tinggi, mesra alam dan cekap sumber bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Antara tumpuan utama MSWM ialah pembangunan teknologi inovatif dalam pengurusan bahan buangan terjadual dan sisa pepejal domestik bagi meningkatkan keselamatan, kecekapan dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa.

"Pendekatan ini diyakini mampu menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan peningkatan kualiti hidup masyarakat, selaras dengan agenda negara menuju masa depan hijau dan mampan," katanya.

Sementara itu, Jalaluddin berkata kilang berkenaan mempunyai pelaburan dalam pengurusan hampir RM60 juta dan mampu memproses bahan litium terpakai sebanyak 2,160 tan sebulan.

Beliau berkata fasiliti SW103 membuktikan bahawa sektor industri kini sedang bergerak seiring dengan keutamaan kerajaan dalam memacu pembangunan mapan, bertanggungjawab dan berimpak hijau.

"Melalui teknologi pemerolehan kembali bateri litium terpakai dan bahan terjadual, sisa yang dahulunya dianggap beban kini menjadi sumber baharu yang bernilai.

“Pendekatan ini dapat menjimatkan sumber serta mengurangkan pelepasan karbon, memperkukuh rantaian bekalan bahan mentah tempatan dan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi," katanya.

Jalaluddin berkata usaha ini merupakan contoh terbaik kerjasama antara kerajaan dan pihak industri yang mampu menjayakan prinsip ekonomi kitaran, selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan