JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Sambutan Hari Statistik Negara 2025 Di Pahang Tonjol Peranan Data Sebagai Nadi Kehidupan Rakyat - DOSM

14/10/2025 10:12 AM

PUTRAJAYA, 14 Okt (Bernama) -- Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2025 akan diadakan pada 17 hingga 19 Okt ini di Sungai Koyan, Kuala Lipis di Pahang dengan sasaran lebih 5,000 penyertaan, sekali gus menjadi platform meliterasikan statistik serta mendekatkan rakyat dengan data dalam kehidupan seharian.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata HSN 2025 bertemakan “Statistik Nadi Kehidupan” itu, akan dirasmikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta menampilkan pelbagai program berimpak tinggi.

Antaranya Sesi Literasi Statistik bersama Komuniti, Karnival Kerjaya, Debat Statistik Institut Pengajian Tinggi (IPT), Sukan Rakyat, pemeriksaan kesihatan serta Forum Perdana Ehwal Islam.

“Diharapkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya statistik untuk kehidupan itu dapat terus meningkat.

“Dalam masa sama, rasa kebersamaan dalam kajian-kajian yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) dalam bidang statistik ini, (terus) mendapatkan kerjasama yang erat semua pihak,” katanya dalam sesi temu bual sempena HSN 2025 baru-baru ini.

Melalui HSN 2025, Mohd Uzir berkata DOSM berperanan mengukuhkan Sistem Statistik Negara yang sedang dilaksanakan, sekali gus memberi impak positif terhadap pengukuhan institusi perangkaan nasional dan pemodenan perkhidmatan statistik negara.

“Penyertaan umum dalam kajian-kajian dan juga data-data yang dikeluarkan oleh DOSM dari semasa ke semasa amat membanggakan, (termasuk) dari segi penerimaan dan juga penggunaannya pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata HSN 2025 secara tidak langsung membantu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan data statistik dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, perdagangan, perniagaan, perindustrian dan pertanian.

“Melalui inisiatif ini, masyarakat akan lebih memahami bagaimana statistik menjadi asas penting dalam membuat keputusan, merancang dasar dan menilai pembangunan negara.

“Secara keseluruhannya, HSN 2025 berperanan memupuk budaya statistik yang menyumbang kepada pembangunan negara serta kesejahteraan sejagat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

Mohd Uzir berkata HSN 2025 bukan sahaja menonjolkan peranan statistik sebagai asas kesejahteraan masyarakat, tetapi juga memperkukuh semangat komuniti dan memperlihatkan komitmen DOSM, dalam menjadikan statistik sebagai nadi kehidupan rakyat Malaysia.

“Kita mahu statistik negara berkembang seiring dengan kemajuan negara. Seperti yang dikatakan, a strong country requires a strong statistical system. Sebuah negara yang ingin maju ke hadapan memerlukan sistem statistik yang kukuh.

“Usaha ini tidak boleh digerakkan secara satu hala, sebaliknya memerlukan penyertaan daripada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata HSN 2025 anjuran DOSM kali ini amat istimewa, kerana ia bersekali dengan Hari Statistik Sedunia yang disambut pada 20 Okt  dan ia diadakan setiap lima tahun sekali pada peringkat antarabangsa.

“Satu yang paling istimewa pada sambutan kali ini adalah kerana pada tahun ini, Malaysia telah dinobatkan dalam kedudukan nombor satu dalam ranking dunia dari segi kesediaan dan juga accessibility data oleh Open Data Inventory (ODIN).

“Kita berada nombor satu daripada 197 negara dan ini satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan