JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

'Roti Israil' Jadi Pilihan Penduduk Sejak 1950

15/10/2025 11:00 AM

KUALA TERENGGANU, 15 Okt (Bernama) -- Meskipun namanya kedengaran agak janggal dan boleh menimbulkan salah faham, Kedai Roti dan Runcit Mohd Rafi bin Israil atau lebih dikenali sebagai 'Kedai Roti Israil' di Kampung Bukit Kubang Jambu di sini tetap menjadi pilihan peminat roti bata dalam kalangan masyarakat tempatan.

Kedai yang diusahakan Mohd Rafi Mohd Israil, 61, sejak 1950 itu, menjual pelbagai jenis roti termasuk 'roti bata', 'roti jari' dan 'roti paung' sekali gus mengembalikan nostalgia terhadap keenakan roti buatan tangan yang diwarisi turun-temurun.

Muhammad Farouq, 29, yang juga anak kepada Mohd Rafi berkata resipi roti tradisional itu warisan daripada arwah datuknya Mohd Israil Tafazul Hussin, seorang individu berketurunan Arab yang mengasaskan perniagaan roti berkenaan.

“Dulu orang panggil ‘roti Israil’ sebab nama arwah datuk. Lama-lama nama tu kekal dan menjadi panggilan biasa masyarakat setempat. Orang luar kadang pelik tapi apabila kita terangkan, mereka mula faham.

“Nama Isra­il itu sebenarnya tidak menjadi masalah kerana penduduk tempatan sudah biasa dan mengenalinya, cuma orang luar kadang-kadang tertanya-tanya tetapi apabila diterangkan barulah mereka faham. Nama itu sebenarnya sempena nama sebenar arwah datuk kami yang telah meninggal dunia pada 2005,” katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Muhammad Farouq berkata roti itu mempunyai tekstur yang lembut yang dihasilkan menggunakan resipi asli turun-temurun serta tidak menggunakan sebarang bahan pengawet. 

“Antara bahan digunakan untuk membuat roti itu ialah tepung gandum, lemak sayur dan gula. Dulu kami guna dapur kayu namun sekarang guna cara moden, iaitu ketuhar. 

"Proses ambil masa dua hingga tiga jam dan biasanya kami buat roti pada petang atau malam untuk jual keesokan pagi,” katanya sambil menambah lebih 30 roti terjual dalam masa sehari.

Muhammad Farouq berkata kedai itu kini diuruskan oleh dia bersama ibu dan adik-beradik lain selepas bapanya menghidap serangan angin ahmar.

"Ayah kini hidap strok tetapi ada masa ayah tetap gagahkan diri untuk membantu uruskan perniagaan ini. Semua pekerja terdiri daripada kami sekeluarga yang mampu menghasilkan antara 20 hingga 30 biji roti sehari mengikut tempahan," katanya sambil menambah harga roti dijual pada harga antara RM1 hingga RM5.

Selain itu, Muhammad Farouq berkata turut menjual roti inti kacang serta roti sekaya buatan sendiri pada harga sehingga RM5 selain kek kuning dijual sekitar RM7 hingga RM7.50.

Muhammad Farouq mengakui sambutan terhadap roti keluaran kedainya masih menggalakkan terutama dalam kalangan golongan berusia yang sudah terbiasa dengan keenakan roti bata tradisional berkenaan.

"Bagi anak-anak muda pula biasanya beli (roti) untuk ibu dan bapa mereka. Pelanggan setia masih lagi banyak maka tidak hairanlah panggilan roti Israil ini sudah terkenal dalam kalangan penduduk tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Farouq berkata buat masa ini dia sekeluarga memilih untuk kekal menjual secara terus kepada pelanggan di kedai bagi mengekalkan kualiti dan keaslian rasa. 

"Setiap roti yang diuli bukan sekadar sumber rezeki tetapi juga warisan turun-temurun yang ingin terus dipertahankan untuk generasi seterusnya,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan