JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

PMR 2025 Melaka: JPJ Bawa Pendidikan Jalan Raya Kepada Rakyat

18/10/2025 02:25 PM

JASIN, 18 Okt (Bernama) -- Selain kemudahan bayaran saman dan penukaran topi keledar, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memanfaatkan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka sebagai platform pendidikan keselamatan jalan raya menerusi sesi advokasi dan perkongsian interaktif dengan pengunjung.

Pengarah JPJ Melaka Siti Zarina Mohd Yusop berkata pendekatan itu bertujuan menjadikan program tersebut sebagai pusat sehentian yang bukan hanya menyediakan perkhidmatan, malah menyampaikan mesej keselamatan secara langsung kepada masyarakat.

“Kita juga ada buat pocket talk dan program advokasi tentang kepentingan keselamatan jalan raya dan penggunaan topi keledar yang mematuhi piawaian ditetapkan,” katanya kepada Bernama.

Siti Zarina berkata lebih 3,000 unit topi keledar diperuntukkan untuk penukaran percuma sepanjang tiga hari program berlangsung, melibatkan pengunjung yang membawa topi keledar lama atau tidak menepati spesifikasi.

Beliau berkata pengagihan terhad kepada 1,000 topi keledar sehari dan untuk hari ini, sebanyak 400 unit telah diedarkan setakat pagi tadi.  

Selain itu, Siti Zarina berkata semakan sistem JPJ membolehkan semakan rekod terdahulu dilakukan pengguna, termasuk sejarah pembayaran saman dan mata demerit.

Beliau berkata semakan secara fizikal di tapak program turut membantu meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pematuhan undang-undang jalan raya, terutama berkaitan lesen memandu.

“Bila kita buat program seperti ini, mereka boleh membuat semakan di lokasi, jadi kita memudahkan urusan untuk membuat pembayaran saman.

“Sekarang, semua tahu penting lesen memandu untuk BUDI95 (subsidi bersasar BUDI MADANI RON95), jadi mereka lebih berwaspada dan peka dalam pemanduan sebab takut akan menjejaskan proses pembaharuan lesen,” katanya.

PMR 2025 Melaka yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Politeknik Merlimau menampilkan pelbagai pengisian menarik merangkumi aktiviti komuniti, pameran agensi dan persembahan pertahanan.

Bertemakan “Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara”, program itu dianjurkan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama strategik Kementerian Pertahanan (Mindef) dan kerajaan Melaka selaku penganjur bersama.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan