JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

MPIH Melaka Bakal Ditubuhkan, Selaras Ekosistem Halal Yang Lebih Tersusun

18/10/2025 03:31 PM

MELAKA, 18 Okt (Bernama) -- Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri (MPIH Melaka) akan ditubuhkan sebagai badan utama untuk menyelaras secara menyeluruh semua agensi teknikal dan industri berkaitan halal bagi memastikan pembangunan industri halal di negeri ini bergerak secara tersusun dan berimpak tinggi.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata penubuhan majlis itu ialah langkah strategik yang seiring dengan hasrat Majlis Pembangunan Industri Halal Peringkat Persekutuan di bawah Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) yang menetapkan keperluan setiap negeri mempunyai struktur kawal selia halal tersendiri.

“Penubuhan majlis ini akan menjadikan Melaka sebagai pusat penyelaras utama, malah memperkukuh kedudukan negeri ini yang kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai pusat halal serantau dengan kedudukannya sebagai Negeri Pelancongan Mesra Muslim. 

"Langkah ini juga mempercepat kemasukan pelabur serta kelulusan pensijilan halal tanpa birokrasi yang membebankan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Melaka International Halal Festival (MIHF) 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan delegasi menteri agama MABIMS antaranya dari Brunei, Indonesia dan Singapura.

Ab Rauf turut mengumumkan kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat swasta kini sedang melaksanakan pembangunan Melaka Halal Hub Fasa 2 di atas kawasan tambahan seluas 42 hektar sebagai kesinambungan Halal Hub Fasa 1 di Serkam, Jasin, khusus untuk menarik penyertaan pelabur antarabangsa dan tempatan yang dijangka siap sepenuhnya pada 2027. 

Dalam pada itu, beliau berkata melalui MIHF 2025, kerajaan negeri membuka pintu seluas-luasnya kepada para pelabur, pengilang, pengedar dan penyelidik dari dalam dan luar negara untuk turut serta bukan sekadar sebagai pemerhati, tetapi juga sebagai rakan strategik dalam membina ekosistem halal dunia dari Melaka. 

Katanya, Melaka telah mendahului banyak negeri lain apabila menubuhkan Melaka Halal Hub sejak 2000 sebagai platform pemerkasaan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), malah muncul sebagai negeri paling aktif dalam pematuhan standard halal di Malaysia dengan 400 syarikat menerima pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) setakat ini.

"Kini, Melaka Halal Hub berdiri di atas kawasan perindustrian yang menempatkan 147 kilang berkonsep ready built factory serta tiga kawasan industri IKS dengan 147 premis perniagaan, menjadikannya antara kluster halal paling tersusun di Malaysia.

"Kita juga turut menawarkan dua laluan pemilikan kepada pemain industri, iaitu sama ada membina kilang secara terus di tapak industri atau membeli premis yang telah siap dibina bagi mempercepat operasi tanpa birokrasi membebankan," katanya. 

Selain itu, katanya pelbagai perkhidmatan sokongan turut disediakan termasuk premis sewaan lengkap, kursus bimbingan, dan khidmat teknikal bagi mempercepat proses mendapatkan pensijilan halal secara lebih efisien dan kos efektif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan