JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Persandingan Diraja Tengku Amir Shah, Afzaa Fadini Berlangsung Penuh Istiadat

22/10/2025 10:43 PM

KLANG, 22 Okt (Bernama) -- Persandingan Diraja Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan pasangannya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, berlangsung dengan penuh adat istiadat, malam ini.

Istiadat bersejarah itu dimulakan dengan keberangkatan tiba Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin pada 7.30 malam, yang mencemar duli untuk menyaksikan persandingan pasangan diraja itu.

Pada 7.45 malam, pasangan pengantin diraja yang kelihatan kacak dan anggun bergaya dengan persalinan diraja berwarna krim itu tiba dengan diiringi kerabat diraja Selangor.

Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor kemudian berkenan untuk memulakan upacara merenjis bagi kedua-dua mempelai.

Upacara merenjis kemudian diteruskan oleh bonda kepada Raja Muda Selangor Puan Nurlisa Idris Abdullah, diikuti ibu bapa pengantin perempuan.  

Majlis itu kemudiannya disempurnakan dengan bacaan doa oleh Mufti Selangor Datuk Anhar Opir bagi memohon keberkatan daripada Allah sebelum diteruskan dengan Majlis Santapan Diraja di Balai Santapan Diraja.

Turut hadir memeriahkan istiadat itu ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, kerabat diraja, pegawai kanan kerajaan, serta jemputan kehormat lain.

Tengku Amir Shah dan Afzaa Fadini selamat diijabkabulkan dalam Istiadat Pernikahan Diraja di Masjid Istana Diraja di Istana Alam Shah pada 2 Okt lepas.

Pasangan pengantin diraja itu dinikahkan oleh Mufti Selangor dengan disaksikan Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah dan Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Datuk Setia Putra dalam istiadat pernikahan yang diadakan secara tertutup.

Akad ijab dan kabul dilafazkan pada 10.08 pagi dengan sekali lafaz, disusuli 11 das tembakan meriam oleh pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) sebagai menandakan istiadat pernikahan telah disempurnakan.

Dalam pada itu, pasangan pengantin diraja dijangka mencemar duli menyantuni rakyat jelata dalam Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat yang dijadualkan berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 7 Nov ini bermula 8 hingga 11 malam.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan