BALIK PULAU, 23 Okt (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang menutup sepenuhnya Jalan Negeri P14 iaitu Jalan Tun Sardon (Bukit Baru) di sini, hingga 6 petang Sabtu ini bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan susulan kejadian runtuhan cerun petang tadi.
Dalam kenyataan menerusi Facebook, JKR Pulau Pinang memaklumkan penutupan yang bermula hari ini itu bagi membolehkan pihak kontraktok yang dilantik oleh JKR Daerah Barat Daya melaksanakan kerja pembersihan jalan dan lain-lain kerja berkaitan.
"Sehubungan itu, pengguna jalan raya di kawasan tersebut diminta memberi kerjasama dan dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif serta merancang perjalanan sepanjang penutupan itu," menurut kenyataan itu.
Terdahulu media melaporkan kejadian runtuhan cerun pada kira-kira 5 petang berikutan hujan lebat sejak awal pagi itu, turut menyebabkan beberapa pokok tumbang hingga menghalang laluan kenderaan di kawasan berkenaan.
Berikutan insiden tersebut, jalan utama yang menghubungkan Balik Pulau dan Paya Terubong itu terpaksa ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan selepas ditimbuni tanah serta pokok sekali gus menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial