KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN Malaysia “Keterangkuman dan Kemampanan”, kumpulan koir Persatuan Orang Pekak Malaysia (MFD) sekali lagi ditampilkan untuk membuat persembahan dengan membawakan lagu rasmi ASEAN dalam bahasa isyarat.
Kali ini, sebanyak 18 kanak-kanak dan remaja Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran itu akan membuat persembahan pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bersama-sama kumpulan koir Young KL Singers, menyampaikan lagu “ASEAN Way” dalam bahasa isyarat.
Koir MFD sebelum ini diberikan peluang menonjolkan bakat mereka di pentas ASEAN pada majlis perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) Julai lepas.
Guru pengiring, Helen Lau berkata kanak-kanak dan remaja berusia antara lapan tahun dan 18 tahun berkenaan berasa amat dihargai dan teruja untuk membuat persembahan itu dan mereka telah berlatih bersungguh-sungguh bagi memastikan kelancaran persembahan.
“Kami rasa bangga sebab diberikan peluang untuk bersama-sama dalam acara seumpama ini. Kita ambil masa tiga hari untuk berlatih.
“Ada juga sedikit cabaran kerana kita perlu ikut rentak muzik, di situlah guru yang tidak pekak akan bantu kami," katanya kepada Bernama dalam bahasa isyarat yang diterjemahkan jurubahasa Wan Zuraidah Abu ketika ditemui selepas raptai majlis perasmian di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Seorang lagi guru pengiring, Wong Chai Sin berkata persembahan berkenaan bukan sahaja mencerminkan komitmen Malaysia terhadap keterangkuman, tetapi juga membantu meningkatkan keyakinan anak-anak istimewa itu.
"Peluang seperti ini membantu mereka untuk membina keyakinan diri dan selain memberi pendedahan," katanya.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Ahad hingga Selasa ini, yang akan menhimpunkan pemimpin dari 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama seperti Amerika Syarikat, China, Jepun dan Korea Selatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial