JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Keadaan Sungai Utama Di Kawasan Muda, Sistem Pengairan Masih Terkawal - MADA

25/10/2025 08:45 PM

ALOR SETAR, 25 Okt (Bernama) -- Keadaan semasa di beberapa sungai utama serta sistem pengairan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih terkawal, walaupun hujan lebat luar biasa yang bermula petang semalam menyebabkan peningkatan paras air di kawasan itu.

Dalam kenyataan hari ini, MADA memaklumkan setakat 8 pagi tadi, bacaan paras sungai utama di Kawasan Muda menunjukkan Sungai Padang Terap mencatat paras 17.62 meter (m) (bahaya), Sungai Bata 8.37m (normal) dan Sungai Arau 6.28m (amaran).

“Bacaan semasa kedudukan takungan tiga empangan kendalian MADA pula keseluruhannya berada pada tahap 54.85 peratus, iaitu Empangan Pedu mencatatkan bacaan 55.14 peratus, Empangan Muda (52.80 peratus) dan Empangan Ahning (54.84 peratus).

“Pelepasan air dari Empangan Pedu telah dihentikan sepenuhnya bermula jam 9 pagi semalam, sementara Pintu Tandop Pasang Surut Ampang Jajar dibuka sebanyak tujuh pintu secara berterusan dan hanya akan ditutup sewaktu fenomena air laut pasang,” katanya.

Menurut MADA, sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan berlaku banjir di Kawasan Muda, agensi itu telah memastikan operasi pengurusan bencana dilaksanakan secara sistematik dan teratur, dengan penglibatan anggota secara menyeluruh.

MADA menyatakan persediaan bantuan logistik turut diperkukuh dengan penyediaan aset seperti pam bergerak, bot, lori dan jentera jengkaut bagi memastikan tindak balas dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan berkesan, sekiranya berlaku bencana.

“Pihak MADA akan terus memantau keadaan cuaca dan paras air dari semasa ke semasa serta melaporkan kepada pihak berkuasa negeri dan daerah mengenai kedudukan semasa takungan empangan, turunan hujan dan paras air sungai utama bagi memastikan sebarang risiko banjir dapat ditangani dengan segera,” katanya.

MADA turut meminta pesawah di Kawasan Muda agar sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang kejadian sawah tenggelam kepada pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) masing-masing untuk tindakan segera.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan