Oleh M Saraswathi dan Massita Ahmad
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Perbualan santai antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyuntik sentuhan peribadi pada majlis rasmi pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balik AS-Malaysia yang berlangsung di sini hari ini.
Kedua-dua pemimpin dilihat berinteraksi dengan mesra, saling bertukar senyuman sekali gus mempamerkan keakraban mereka sepanjang majlis tersebut.
Sejurus sebelum menurunkan tandatangan, Anwar didengar berseloroh, “Saya rasa saya akan dapat pen ini,” yang mengundang senyuman dan gelak kecil para hadirin.
Ketika menandatangani dokumen perjanjian itu, Trump sempat mengerling ke arah tandatangan Anwar sambil berkata: “Tandatangan yang unik.”
Sambil tersenyum Anwar membalas: “Tidak seunik tandatangan anda”.
Trump kemudian menyambung: “Betul, tandatangan beliau begitu unik. Tunggu sebentar, nanti saya tunjukkan.”
Ketika Trump mengambil masa untuk menyiapkan tandatangan beliau yang agak panjang, Anwar mengangkat pennya dan menunjukkan kepada para hadirin sambil bercanda: “Ini pen Rumah Putih,” yang mencuit hati dan sekali lagi mengundang ketawa kecil serta senyuman.
Selepas menurunkan tandatangannya, Trump menyerahkan pen beliau kepada Anwar sebelum menunjukkan tandatangan Perdana Menteri pada terdapat dokumen tersebut kepada mereka yang hadir.
“Sangat berbeza… amat unik… begitu artistik,” katanya yang mengundang tepukan spontan para hadirin.
Sebagai tanda persahabatan, Trump kemudian menyerahkan pen itu kepada Anwar, yang dilihat memasukkannya dengan penuh hati-hati ke dalam poket kot beliau.
Momen itu melambangkan persahabatan yang akrab dan mesra kedua-dua pemimpin di tengah-tengah majlis rasmi pemeteraian perjanjian bersejarah hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial