JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

PM Anwar Guna Platform ASEAN Bangkit Beberapa Isu Termasuk Gaza - Fahmi Fadzil

27/10/2025 12:46 AM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggunakan forum platform ASEAN dalam dialog bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk membangkitkan beberapa perkara termasuk isu Gaza.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Perjanjian Damai KL yang berlangsung di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan hari ini disaksikan Perdana Menteri dan Presiden AS itu, menyaksikan Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan proses pendamaian.

“Dalam ucapan beliau, Perdana Menteri ada menyentuh perbincangan yang diadakan bersama Presiden Trump.  Dalam kereta, perjalanan dari Kompleks Bunga Raya ke Kuala Lumpur, sudah pasti antara perkara yang dibangkitkan tentunya melibatkan Gaza.

“Itu sebabnya kita lihat Perdana Menteri telah menggunakan platform ini untuk menyampaikan satu mesej yang jelas secara terbuka dan secara pribadi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan RIUH x ASEAN 2025, di sini malam ini.

Mengulas dakwaan yang menyatakan sambutan ketibaan Trump lebih meriah berbanding pemimpin lain, Fahmi menafikan perkata itu dan menjelaskan bahawa ketibaan Presiden China Xi Jinping pada Mei, turut diraikan dengan penuh adat dan kehadiran orang ramai termasuk kanak-kanak.

“Kita ingin menunjukkan kepada kuasa besar dunia bahawa Malaysia ialah rakan dialog yang berhasrat untuk berdiplomasi dengan cara tersendiri,” katanya.

Sementara itu Fahmi berkata kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11, merupakan detik bersejarah paling bermakna dalam Sidang Kemuncak ASEAN kali ini.

“Selesai acara, saya ke Pusat Media Antarabangsa dan bertemu wartawan Timor-Leste. Mereka menitiskan air mata dan melahirkan rasa terima kasih kepada Malaysia serta Perdana Menteri, kerana akhirnya selepas 14 tahun mencuba, mereka diterima sebagai anggota ASEAN ke-11,” katanya.

Beliau berkata kehadiran pemimpin dan pegawai tertinggi dari Amerika Syarikat, China, Brazil, Afrika Selatan dan Kanada, membuktikan Malaysia mampu menjadi pemain penting dalam mengemudi perubahan besar dalam diplomasi global serta memastikan matlamat ASEAN tercapai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan