JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Sabah Kembali Dilanda Banjir, Jumlah Mangsa Di Kedah Meningkat

27/10/2025 12:30 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Sabah kembali dilanda banjir manakala jumlah mangsa banjir di Kedah kembali meningkat pagi ini, berbanding keadaan di Perak dan Pulau Pinang yang beransur pulih.

Di SABAH, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan sebanyak 44 mangsa daripada 16 keluarga di Sipitang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Mini Mesapol.

“Sebanyak lima kampung terjejas akibat banjir yang melanda lewat petang semalam dan penduduk dipindahkan sejak tengah malam tadi," menurut kenyataan itu.

Sementara itu di KEDAH, jumlah mangsa banjir kembali meningkat dengan Kota Setar menjadi daerah terbaru dilanda bencana itu.

JPBN Kedah memaklumkan jumlah mangsa di negeri itu meningkat kepada 1,281 orang daripada 372 keluarga pagi ini berbanding 1,169 orang daripada 329 keluarga, malam tadi.

“Kesemua mangsa dari enam daerah iaitu Kota Setar, Kulim, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu dan Padang Terap ditempatkan di 10 PPS.

“Di Kota Setar, 225 orang daripada 65 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman yang dibuka pada 9.30 malam tadi manakala Kulim kekal dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu 554 orang daripada 163 keluarga di empat PPS, diikuti Pendang dengan 330 orang daripada 90 keluarga di dua PPS,” menurut kenyataan itu.

Pokok Sena pula merekodkan 136 mangsa daripada 39 keluarga di sebuah PPS, sebuah PPS di Kubang Pasu (23 mangsa, 11 keluarga) manakala di Padang Terap, 13 mangsa daripada empat keluarga masih berlindung di sebuah PPS.

Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir memaklumkan tiga sungai di Kedah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Pendang di Pendang (3.55 meter), Sungai Titi Kerbau di Pendang (6.31m) dan Sungai Padang Terap di Kubang Pasu (4.12m).

Di PULAU PINANG, situasi banjir semakin pulih dengan mangsa banjir merekodkan penurunan kepada 411 orang daripada 108 keluarga pagi ini, berbanding 646 mangsa daripada 179 keluarga, semalam.

Berdasarkan kemas kini di laman sesawang info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 7.20 pagi ini, 392 mangsa berada di empat PPS di daerah Seberang Perai Utara (SPU) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi (154 mangsa, 41 keluarga) dan pusat penempatan banjir Labuh Banting (114 mangsa, 31 keluarga).

SK Padang Menora pula menempatkan 78 mangsa daripada 21 keluarga dan 46 mangsa daripada sembilan keluarga lagi di Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang manakala 19 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di SK Guar Perahu yang merupakan satu-satunya PPS masih beroperasi di daerah Seberang Perai Tengah (SPT). 

Di PERAK, jumlah mangsa banjir pagi ini terus berkurang kepada 1,129 orang daripada 362 keluarga berbanding 1,158 orang daripada 375 keluarga malam tadi yang ditempatkan di 12 PPS melibatkan empat daerah.

Sekretariat JPBN Perak memaklumkan Larut, Matang dan Selama merekodkan 361 orang daripada 113 keluarga berlindung di Masjid Ali Rouse Ulu Sepetang, Sekolah Kebangsaan (SK) Matang dan Surau Al-Hidayah Pondok Quint Batu 13.

Di Manjung, lima PPS masih beroperasi di SK Sungai Batu, Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, SK Beruas, SK Pantai Remis dan SK Gangga yang menempatkan 510 mangsa daripada 172 keluarga.

Jumlah mangsa di sebuah PPS di Perak Tengah kekal 110 orang daripada 31 keluarga di Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-Layang Kiri, Parit, manakala di Kerian masih menempatkan 148 orang daripada 46 keluarga di dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Gunung Semanggol dan SK Parit Haji Aman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan