KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Mekanisme pelantikan Pendakwa Raya selepas pelaksanaan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini sedang diteliti Pasukan Petugas Khas Teknikal sebelum sebarang keputusan utama ditetapkan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran.
Beliau berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melaksanakan model pengasingan penuh fungsi antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 10 Sept lepas yang bersetuju agar kedua-dua jawatan itu dipegang individu berbeza dengan kedudukan setara.
Kulasegaran berkata model pengasingan itu dirangka berasaskan kajian perbandingan terhadap tiga negara iaitu Kanada, Australia dan United Kingdom yang berkongsi sistem perundangan common law hampir sama dengan Malaysia serta telah melaksanakan pelbagai bentuk pemisahan fungsi antara kedua-dua entiti berkenaan.
“Berdasarkan Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan, pelantikan Peguam Negara dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
“Cadangan mekanisme pelantikan Pendakwa Raya selepas pengasingan peranan ini pula tertakluk kepada penelitian lanjut oleh Jawatankuasa Teknikal mengenai cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebelum sebarang keputusan utama ditetapkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai model perbandingan yang dirujuk kerajaan bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta sama ada pelantikan Peguam Negara akan melalui Jawatankuasa Pilihan berkaitan Kementerian.
Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata semua pihak perlu memberikan ruang kepada pasukan teknikal untuk melaksanakan penelitian bagi memastikan reformasi pengasingan kuasa dilaksanakan secara menyeluruh, berasaskan prinsip kedaulatan undang-undang dan bebas daripada sebarang pengaruh politik.
“Selepas pengasingan peranan ini dilaksanakan, Peguam Negara dan Pendakwa Raya masing-masing akan mempunyai bidang kuasa. Proses pelantikan Pendakwa Raya juga akan diteliti dengan rapi bagi memastikan keadilan dan kebebasan dilaksanakan secara menyeluruh.
“Saya percaya, seperti mana Pendakwa Raya sekarang yang menjalankan tugas dengan berdikari dan bebas, beliau merupakan contoh model terbaik bagi sistem bakal kita laksanakan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berhubung jaminan kerajaan pemisahan kuasa tersebut tidak dipengaruhi campur tangan politik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial