JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kejayaan Anjur Sidang Kemuncak ASEAN Tonjolkan Malaysia Sebagai Kuasa Diplomasi Global - Fahmi

29/10/2025 04:07 PM

PUTRAJAYA, 29 Okt (Bernama) -- Kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berjaya menonjolkan negara sebagai kuasa penting dalam diplomasi global, dengan kehadiran pemimpin-pemimpin utama dunia termasuk dari Amerika Syarikat (AS), kumpulan BRICS, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sidang kemuncak tiga hari yang berlangsung di Kuala Lumpur sejak Ahad lepas itu diadakan dalam suasana geopolitik dan ekonomi dunia yang mencabar, sekali gus membuktikan kemampuan Malaysia mengemudi penganjuran bertaraf antarabangsa dengan cemerlang.

“Malaysia kini telah menamatkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan kehebatan diplomasi kita diiktiraf.

“Kita tidak memiliki senjata nuklear, namun cara kita menerima tetamu dan memastikan perjalanan sidang kemuncak berjalan lancar amat membanggakan.

“Tiada negara lain yang mampu mengemudi bahtera ASEAN dalam gelora besar perang tarif dan ketegangan geopolitik dunia seperti yang kita lakukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Komunikasi 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Sambil berkongsi tentang kehadiran tokoh-tokoh antarabangsa ke sidang kemuncak itu, Fahmi menyifatkan kehadiran Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino sebagai bersejarah.

“(Kehadiran mereka) amat bersejarah. Saya harap bukan sahaja tahun ini menjadi bukti kehebatan Malaysia dalam aspek layanan dan penganjuran, tetapi juga menjadi kebanggaan rakyat untuk dikongsikan apabila pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.

Fahmi turut memaklumkan bahawa penganjuran sidang kemuncak itu disusuli pengukuhan nilai Ringgit, apabila mata wang negara dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS hari ini.

“Pagi ini, nilai Ringgit meningkat kepada 4.188 berbanding dolar AS daripada 4.193 semalam. Ini satu petanda positif,” katanya.

Di bawah kepimpinan Malaysia, sidang kemuncak tersebut menumpukan kepada perbincangan ekonomi yang memberi impak besar, memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai hab pelaburan yang berdaya tahan dan menarik.

Selain kehadiran Presiden AS Donald Trump, sidang kemuncak itu turut disertai Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva yang mengetuai kumpulan ekonomi pesat membangun BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) serta Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa.

Antara pemimpin lain yang hadir ialah Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, Perdana Menteri baharu Jepun Sanae Takaichi, Perdana Menteri Kanada Mark Carney, Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta, dan Perdana Menteri negara itu Kay Rala Xanana Gusmao, manakala Perdana Menteri India Narendra Modi menghadirinya secara maya.

Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas kali terakhir menerajuinya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.

Acara tahunan ini merangkumi Sidang Kemuncak ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN+1 antara ASEAN dan tujuh rakan dialog, iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, Rusia dan AS serta Sidang Kemuncak ASEAN+3, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-New Zealand sempena ulang tahun ke-50 hubungan dialog antara ASEAN dan New Zealand.

Sidang kemuncak itu juga merupakan kemuncak Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, sebelum Filipina mengambil alih kepengerusian ASEAN bermula 1 Jan 2026.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan