JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

TVET Di Sebalik Tirai Besi Buka Laluan Baharu Buat Penghuni

30/10/2025 02:13 PM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Proses pemulihan di sebalik tirai besi dan dinding konkrit kini tidak lagi hanya tertumpu kepada aspek disiplin serta pembentukan sahsiah, sebaliknya turut diperkukuh dengan latihan kemahiran bagi memastikan prospek dapat membina kehidupan bermakna selepas dibebaskan.

Selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan tenaga kerja profesional dan berkemahiran tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperkenalkan kepada penghuni penjara, sekali gus menyokong pelaksanaan Dasar TVET Negara 2030.

Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, Dr Azmir Mohd Yunus berkata dasar berkenaan menekankan prinsip keterangkuman dan peluang saksama kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan rentan seperti prospek (banduan), pelajar tahfiz, pekerja gig dan mereka yang melalui proses pemulihan di pusat serenti.

“Melalui Dasar TVET Negara 2030, kita mahu memastikan semua peringkat masyarakat mendapat peluang mengikuti program kemahiran termasuk mereka yang berada di penjara atau pusat pemulihan supaya turut memperoleh kemahiran yang boleh digunakan untuk membina kehidupan baharu,” katanya kepada Bernama.

Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berperanan menyelaras pelaksanaan dasar, strategi dan inisiatif TVET di peringkat nasional dengan melibatkan 12 kementerian serta pelbagai agensi pelaksana.

Azmir berkata penyelarasan di bawah majlis itu penting bagi mengelak pertindihan fungsi dan memastikan penggunaan sumber yang optimum, terutama apabila negara memiliki lebih 1,398 institusi TVET meliputi 673 institusi awam, 697 swasta serta 28 di bawah kerajaan negeri yang memerlukan hala tuju jelas.

Katanya pendekatan inklusif itu turut membuka ruang kepada jabatan dan institusi seperti Jabatan Penjara Malaysia untuk bekerjasama dengan agensi TVET termasuk Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), GiatMARA, Politeknik dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam melaksanakan latihan kemahiran di penjara.

“Kejayaan TVET di penjara bergantung kepada sinergi antara dasar dan pelaksanaan, dengan matlamat akhir agar bekas banduan yang dilatih dapat diterima semula oleh industri melalui peluang pekerjaan, sekali gus menjadi penyumbang positif kepada ekonomi,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata Majlis TVET Negara bersedia menyokong pengembangan program kemahiran di institusi pemulihan dan penjara melalui penyesuaian latihan dengan keperluan semasa seperti teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) termasuk menghubungkan Jabatan Penjara dengan institusi pakar untuk bidang latihan baharu.

Katanya Majlis TVET Negara komited untuk terus memperkukuh ekosistem TVET secara menyeluruh agar tiada golongan yang tercicir daripada peluang membina kehidupan baharu.

“Kita harap masyarakat faham bahawa insan yang pernah tersilap langkah juga berhak mendapat peluang kedua. Dengan kemahiran dan sokongan, mereka boleh menjadi penyumbang yang berguna kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata pendekatan TVET bukan sekadar memperkasa prospek dari segi kemahiran, malah mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka.

Katanya sejak 2012, lebih 19,000 prospek penjara telah menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau Sijil Kemahiran Penjara (SKP) dan ia menandakan keberhasilan pelaksanaan program itu di bawah Pusat Vokasional Industri Penjara (PVIP) di seluruh negara.

Lebih membanggakan, Abdul Aziz berkata pelaksanaan latihan TVET di penjara memberi impak besar kepada kadar pengulangan jenayah kerana matlamatnya adalah agar prospek tidak lagi dilihat sebagai pesalah, tetapi sebagai individu yang berpotensi untuk diperbaiki dan menyumbang semula kepada masyarakat

“Peserta program TVET dan pemulihan komuniti mencatat kadar pengulangan jenayah di bawah 0.3 peratus, jauh lebih rendah berbanding kadar antarabangsa sekitar 20 peratus. Tetapi bagi yang tidak mengikuti latihan kemahiran, kadar pengulangan boleh mencecah sehingga 12 peratus,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, selain memperkukuh kemahiran teknikal, program TVET di penjara turut digabungkan dengan elemen kerohanian melalui Program Tahfiz Penjara, yang kini dilaksanakan di 14 institusi dengan hampir 300 peserta.

Beliau berkata gabungan kemahiran dan elemen spiritual yang diberikan kepada prospek di sebalik tirai besi menjadikan proses pemulihan lebih holistik.

“Program tahfiz memberikan ketenangan jiwa, manakala TVET memberi kekuatan hidup. Apabila kedua-duanya bergabung, lahirlah insan baharu yang lebih kukuh jati dirinya,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Aziz menegaskan kejayaan sebenar pemulihan hanya dapat dicapai apabila masyarakat di luar bersedia menerima prospek kembali sebagai ahli masyarakat yang produktif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan