JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Perlis Komited Perkukuh Budaya Penyelidikan dan Inovasi, Lahirkan Modal Insan Berdaya Saing

30/10/2025 10:56 PM

KANGAR, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan Perlis komited memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi sebagai usaha melahirkan modal insan berdaya saing serta menjadikan hasil ciptaan tempatan pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata penganjuran program Idea Bestari 2025 yang menghimpunkan lebih 100 kumpulan inovator daripada pelbagai institusi pendidikan dan komuniti setempat membuktikan kesediaan negeri itu untuk membina ekosistem inovasi yang inklusif dan mampan.

“Saya amat berharap agar hasil inovasi yang dipamerkan dalam program ini tidak hanya berakhir sebagai produk akademik tetapi diteruskan ke peringkat pengkomersialan.

“Dalam jangka panjang, usaha ini mampu melahirkan usahawan teknologi muda dan penyelidik berjiwa keusahawanan yang memperkukuh ekonomi negeri,” katanya ketika berucap menutup program itu serta majlis penyampaian Anugerah Idea Bestari 2025 di Dewan 2020 di sini hari ini.

Mohd Shukri turut menekankan bahawa inovasi bukan sahaja berkaitan teknologi malah cara menggunakan pengetahuan untuk memperbaiki kehidupan dan memajukan masyarakat.

Beliau berkata program yang julung kali diadakan itu bersempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dengan penyertaan hampir 500 peserta melibatkan lima kluster utama inovasi iaitu  teknologi makanan, pertanian, sains sosial, perniagaan dan inovasi pengajaran.

“Penganjuran Idea Bestari 2025 yang diterajui Pejabat Exco Belia dan Sukan serta Sains, Teknologi dan Inovasi negeri dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri; Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs); Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UniMAP (Universiti Malaysia Perlis);

“Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Majlis Belia Negeri Perlis (MBN) serta jabatan lain yang turut membantu, merupakan usaha bersepadu untuk membangunkan ekosistem inovasi yang inklusif dan mampan di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan