MELAKA, 2 Nov (Bernama) -- Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia) memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur bagi kemudahan komuniti setempat di Kampung Tangga Batu Kechil menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI.
Ketua Pengarahnya Noraishah Pungut berkata projek berkenaan, antaranya pembinaan dan penurapan jalan di sekitar kampung, pembinaan ruang serba guna komuniti yang bakal menjadi pusat aktiviti sosial penduduk kampung dan pembinaan tandas untuk warga emas, telaga tiub serta pemasangan sistem solar di Masjid Ibadur Rahman.
Beliau berkata inisiatif di bawah Kampung Angkat MADANI itu akan memberi manfaat untuk penduduk di tiga kampung terlibat, iaitu Kampung Tangga Batu Kechil, Kampung Bukit Salleh dan Kampung Paya Luboh.
"Menerusi projek yang dilaksanakan seperti menaik taraf jalan kampung termasuk jalan alternatif ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tangga Batu bertujuan memberi kemudahan kepada ibu bapa menghantar dan mengambil anak-anak pulang dari sekolah dengan lebih selamat tanpa melalui jalan utama.
"Selain itu, pembinaan telaga tiub dapat mengatasi masalah ketiadaan air semasa musim kemarau dan membantu penduduk melaksanakan program secara besar-besaran,
“Sementara itu, pemasangan sistem solar di Masjid Ibadur Rahman satu daripada usaha kerajaan untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050 melalui penggunaan teknologi hijau sebagai langkah awal ke arah penggunaan tenaga bersih yang mampan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Tenga Atom Malaysia yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.
Beliau berkata di bawah inisiatif Sekolah Angkat MADANI pula, sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk SK Tangga Batu antaranya bagi menaik taraf kualiti pendidikan seperti Google TV bagi tujuan pembelajaran digital dan interaktif yang lebih berkesan untuk murid-murid.
Inisiatif itu turut melibatkan kerja-kerja menarik taraf dan membaik pulih infrastruktur, antaranya penyelenggaraan sistem saluran kumbahan, penurapan simen pada laluan masuk ke kawasan sekolah, pemasangan kipas dan papan tanda, serta pembelian meja dan bangku untuk kantin.
Noraishah berkata pelaksanaan program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada komuniti mengenal jabatan itu malah memberi peluang kepada warga Atom Malaysia untuk turun padang menyantuni masyarakat, menyumbang ilmu dan membina kapasiti insan pada peringkat akar umbi.
"Inisiatif ini bukan semata-mata tertumpu kepada pembangunan fizikal tetapi ia lambang keprihatinan kerajaan, khususnya Atom Malaysia serta komitmen semua pihak untuk memastikan tiada sesiapa yang tercicir daripada arus kemajuan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial