JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Sarawak Kaji Mekanisme Penyaluran Bantuan Kewangan Pelajar B40 Di IPTA Seluruh Negara

04/11/2025 01:37 PM

KOTA SAMARAHAN, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri sedang meneliti mekanisme terbaik untuk menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM15,000 setahun kepada anak jati Sarawak daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ketika ini bantuan tersebut hanya disalurkan kepada pelajar yang menuntut di universiti milik kerajaan negeri.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan memastikan setiap anak Sarawak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa kekangan kewangan, khususnya dalam kalangan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Bagi pelajar Sarawak yang menuntut di IPTA di seluruh negara, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengkaji kaedah bagi menyalurkan bantuan serupa kepada mereka.

“Namun, pada masa ini, atas dasar memahami situasi yang dihadapi pelajar anak jati Sarawak yang belajar di mana-mana IPTA atau IPTS seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), kerajaan menyediakan Bantuan Kewangan Khas Pelajar Sarawak sebanyak RM1,200 setahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-29 di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Sarawak mengumumkan pelaksanaan pendidikan tinggi percuma bermula tahun hadapan di empat universiti milik kerajaan negeri, iaitu Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University Malaysia, University of Technology Sarawak dan i-CATS University College.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan bantuan elaun sebanyak RM15,000 setahun kepada pelajar yang layak, iaitu mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah per kapita di bawah RM1,500, menerusi skim pendidikan tinggi percuma berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan