BATU GAJAH, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri mempertingkat pemantauan cerun berisiko di sepanjang laluan Gerik-Jeli dan Simpang Pulai-Blue Valley susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini hingga Mac depan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri telah memulakan pemantauan sejak bulan lalu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya di kedua-dua laluan berkenaan.
“Setakat ini tiada laporan kejadian terbaru di laluan tersebut, hanya beberapa kerosakan lama yang sedang diperbaiki oleh pihak JKR.
“Bagaimanapun, pemantauan bersepadu akan terus dilaksanakan terutama membabitkan pergerakan tanah atau rekahan tebing di kedua-dua laluan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar Perak pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-7 Akademi Dalam Industri di Akademi Keretapi Tanah Melayu (KTM), di sini, hari ini.
Pada 14 Okt lalu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan JKR akan menyalurkan amaran awal kepada JKR negeri dan daerah mengikut tiga tahap amaran banjir utama sebagai langkah persediaan menghadapi MTL.
Sementara itu, Mohammad Nizar berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri turut diarahkan untuk memantau paras air sungai di beberapa daerah secara berterusan serta memastikan sistem saliran dan benteng banjir diselenggara dengan baik.
“Kita khuatir jika penyelenggaraan tidak dilakukan dengan baik, bukan sahaja kawasan berisiko terjejas, malah kawasan yang sebelum ini tidak pernah dilanda bencana juga boleh terkesan seperti yang berlaku di Kamunting (Taiping) baru-baru ini,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan pembekuan cuti kakitangan JKR dan JPS sekiranya berlaku bencana serius yang memerlukan tenaga kerja penuh.
“Jika berlaku insiden yang tidak diingini, kita tidak teragak-agak untuk mengeluarkan arahan pembekuan cuti seperti yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial