JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

HEBAT Platform Rakyat Sampaikan Aduan Terus Kepada Exco Kerajaan Melaka

07/11/2025 12:45 PM

MELAKA, 7 Nov (Bernama) -- Program Hari Exco Bersama Rakyat (HEBAT) menjadi platform penting kerajaan Melaka untuk mempertemukan rakyat dengan barisan Exco, bagi membolehkan keperluan dan aduan diselesaikan secara langsung, cepat dan berkesan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata melalui program itu, rakyat dari 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh hadir terus ke Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh pada 13 Nov ini untuk berjumpa Exco tanpa perantara.

“Menerusi pendekatan ini, kerajaan dapat mendengar sendiri pandangan rakyat, sekali gus merangka dasar yang lebih baik bagi memastikan urusan rakyat dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan teratur.

“Fokus kerajaan negeri ketika ini ialah menyantuni setiap aduan rakyat, sekecil apa pun isu itu... Rakyat mesti dibela, suara rakyat mesti disantuni,” katanya ketika bersiaran dalam segmen Dak Rauf Masuk Konti di MelakaFM, Jabatan Penyiaran Melaka, di sini hari ini.

Ab Rauf berkata program HEBAT Siri 2 itu diteruskan susulan kejayaan siri pertama yang menerima hampir 200 aduan daripada rakyat di seluruh negeri, dengan 80 peratus daripadanya telah diselesaikan dalam tempoh dua bulan.

Beliau berkata antara aduan yang paling banyak diterima melibatkan pembangunan dan infrastruktur, bantuan kebajikan serta sokongan ekonomi, selain isu pembersihan awam dan persekitaran.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi penyelesaian aduan dalam tempoh dua minggu untuk kes yang mudah dan tidak memerlukan kos besar.

“Walau apa pun keadaannya, setiap jabatan dan agensi bertanggungjawab memastikan status aduan sentiasa dikemas kini agar rakyat mengetahui perkembangan tindakan yang sedang dan telah diambil,” katanya.

Ab Rauf berkata setiap program kerajaan negeri dilaksanakan dengan satu matlamat utama, iaitu memberi manfaat kepada rakyat Melaka dan memastikan suara rakyat terus menjadi keutamaan.

“Sehubungan itu, rakyat Melaka dijemput hadir ke Program HEBAT yang menyediakan pelbagai kaunter perkhidmatan daripada jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan bagi memudahkan urusan pengunjung,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan