KUANTAN, 7 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pahang memperluas bantuan Program Tunas Makmur 2025 dengan menyalurkan barangan persekolahan kepada 21,026 pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.05 juta.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, set alat tulis itu akan diagihkan mulai minggu hadapan oleh Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP).
Beliau berkata pengagihan bantuan berkenaan turut akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan agensi berkaitan bagi memastikan proses itu berjalan lancar serta sampai kepada semua penerima layak di seluruh negeri.
Menurutnya, sebelum ini pelajar SPM sudah menerima Kad Diskaun Pelajar yang menawarkan potongan sehingga 30 peratus, selain buku rujukan dan latihan percuma untuk persediaan menghadapi peperiksaan, serta peralatan persekolahan khusus bagi pelajar Tingkatan Lima dalam kategori miskin tegar.
“Kesemua inisiatif ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan negeri terhadap pembangunan ilmu pengetahuan serta kejayaan akademik anak-anak Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Rosdy berkata beliau yakin usaha berterusan bersama kerjasama pelbagai pihak, khususnya dalam memperkukuh aspek pendidikan, akan terus memacu Pahang sebagai negeri yang makmur dan berilmu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial