JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Jangan Jadikan Institusi Pengajian Tinggi Platform Berpolitik - Sultan Kedah

09/11/2025 02:04 PM

SINTOK, 9 Nov (Bernama) -- Institusi pengajian tinggi tidak seharusnya dijadikan sebagai platform berpolitik kerana institusi itu ialah tempat bagi mencari ilmu dan bukannya medan untuk menabur fitnah, titah Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

“Andai ilmu dijadikan alat untuk berpolitik dan fitnah, perkara itu akan memusnahkan kepercayaan rakyat dan merencatkan masa depan generasi akan datang.

“Beta menyeru agar semua pihak hendaklah bersatu dalam memastikan institusi pengajian tinggi di Malaysia berintegriti dan berpaksikan kebenaran,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-38 di Dewan Mu'adzam Shah, di sini hari ini.

Sultan Sallehuddin yang juga Tuanku Canselor UUM menegaskan universiti haruslah menjadi jambatan perpaduan, bukannya tembok perpecahan.

Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin menzahirkan rasa bangga akan pencapaian UUM yang kini berada di tangga ke-491 terbaik dunia dan unggul dalam bidang pendidikan berkualiti serta inovasi.

Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada 6,832 graduan yang menerima ijazah masing-masing dalam sembilan sesi konvokesyen UUM bermula dari hari ini hingga 13 Nov.

Dalam titah ucapan baginda, Sultan Sallehuddin menasihati graduan supaya menggunakan ilmu dengan kebijaksanaan serta menjadi individu yang membina dan menyatukan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan