PONTIAN, 9 Nov (Bernama) -- Jadual ramalan aras air pasang surut yang dikeluarkan Pusat Hidrografi Nasional (PHN) menjadi rujukan utama seorang suri rumah Saleha Rahmat, 37, untuk sentiasa bersiap siaga menghadapi risiko banjir susulan fenomena air pasang besar di Kukup.
Ibu kepada dua anak itu berkata jadual berkenaan memberikan petunjuk awal tentang perubahan paras air laut sepanjang tahun, sekali gus membantu keluarganya merancang langkah pencegahan lebih awal.
“Saya sudah cetak jadual ini sejak awal tahun. Jadual itu lengkap untuk setahun termasuk bacaan ketinggian air serta waktu dan bulan ramalan fenomena ini.
“Saya tampal jadual ini di dalam rumah supaya kami sentiasa peka. Saya label tarikh-tarikh penting menggunakan pen warna hijau dan oren bagi hari yang diramalkan berlaku peningkatan paras air laut,” katanya ketika ditemui sedang mengemas halaman rumahnya yang dinaiki air akibat fenomena itu di Jalan Zamrud, Pekan Kukup.
Beliau berkata berdasarkan ramalan berkenaan, keluarganya akan mengalihkan barangan penting dan perkakas rumah seperti mesin basuh, selain memindahkan kenderaan ke kawasan lebih tinggi setiap kali fenomena air pasang besar dijangka berlaku.
“Setakat ini paling tinggi air naik hingga paras betis. Bagaimanapun, air tidak melimpah masuk ke rumah dalam tempoh beberapa hari ini, tetapi beberapa hari lepas, kawasan pekan memang dinaiki air. Jadual ini sangat membantu.
“Malah, di Kukup ada Monumen Aras Air Pasang Surut yang memaparkan ramalan aras air laut yang menjadi sumber rujukan komuniti setempat,” katanya.
Seorang peniaga, Jia Mee, 26, turut menjadikan monumen yang dibangunkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Majlis Daerah Pontian (MDP) dan kerajaan Johor itu sebagai rujukan tetap ketika berdepan dengan fenomena air pasang besar.
“Saya sering lalu di depan monumen ini. Maklumat yang dipaparkan seperti tarikh, ukuran paras air dan waktu sangat membantu. Kadang-kadang saya terlepas pandang tarikh penting, jadi monumen ini betul-betul memudahkan saya,” katanya.
Sejak Khamis lepas, pekan Kukup dilanda air pasang besar sehingga menyebabkan beberapa laluan utama dinaiki air.
Tinjauan Bernama setakat pukul 4 petang tadi mendapati trend air mulai surut.
Berdasarkan jadual PHN, paras air direkodkan tertinggi di Kukup kira-kira pukul 1.10 tengah hari ini dengan ketinggian 3.4 meter, diikuti ketinggian 3.3 meter pada 1.54 tengah hari esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial