JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kerajaan Muktamadkan Pemulangan 40 Peratus Hasil Sabah Esok - PM Anwar

10/11/2025 01:52 PM

TAWAU, 10 Nov (Bernama) -- Keputusan mengenai tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri esok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan mendengar pandangan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang sebelum membuat keputusan sama ada memfailkan rayuan atau sebaliknya.

“Saya sudah panggil mesyuarat esok. Kita dengar dulu penjelasan Peguam Negara, hendak rayu atau tidak, tunggu esok. Bagi saya, kalau tidak rayu pun tidak mengapa. Tetapi keputusan muktamad dibuat selepas kita dengar dan bincang bersama semua ahli Jemaah Menteri,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Malaysia Digital di sini hari ini.

Anwar berkata terdapat kekangan dan keterbatasan dalam isu berkenaan, namun berharap semua pihak memahami situasi berkenaan.

“Soalnya, mahkamah arah untuk runding. Saya kata baik, kita akan runding. Tetapi hari ini hendak runding dengan siapa? Kerana kerajaan sekarang hanyalah kerajaan sementara (caretaker government). Tunggu pilihan raya, selepas kerajaan baharu dibentuk, saya akan arahkan rundingan dimulakan segera,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya telah menyalurkan peruntukan yang lebih besar kepada Sabah berbanding pentadbiran terdahulu.

Beliau berkata Sabah kini menerima peruntukan tahunan sebanyak RM17 bilion, berbanding hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan di negeri itu iaitu kira-kira RM10 bilion setahun.

“Mengapa ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya meningkatkan jumlah pemberian khas kepada Sabah sebanyak RM600 juta? Namun, ini belum muktamad. Kerajaan negeri meminta tambahan dan dalam mesyuarat akan datang, kita akan runding lagi berapa jumlah yang boleh ditambah,” katanya.

Mengulas kritikan pembangkang, Perdana Menteri berkata: “Kalau pembangkang asyik memarahi kita, saya ingin bertanya, kamu hendak marah apa? Pada zaman kerajaan terdahulu, hanya RM56 juta diberi. Kita naikkan kepada RM600 juta, kamu masih marah?”

Anwar menegaskan bahawa dasar Kerajaan MADANI sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan untuk semua negeri, termasuk komitmen memastikan Sabah terus diberikan keutamaan dalam agenda pembangunan negara.

Beliau berkata tidak wajar mana-mana pihak menunjukkan rasa tidak puas hati kerana Kerajaan MADANI telah membuktikan iltizam yang lebih jelas dalam melaksanakan hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sementara itu, Perdana Menteri mengesahkan bahawa Mesyuarat Khas Jemaah Menteri esok tidak akan membincangkan mengenai rombakan kabinet seperti yang diperkatakan.

Mengulas tindakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, yang meletakkan jawatan, Anwar menyifatkan keputusan itu dibuat terlalu awal memandangkan kerajaan masih meneliti pelbagai aspek berkaitan isu pulangan 40 peratus hasil Sabah.

Pada 8 Nov lepas, Ewon mengesahkan meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan menerusi satu kenyataan di Facebook.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan