JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kajian UUM Nilai Keberkesanan Inisiatif Kerajaan Dibentang Esok - KSN

10/11/2025 06:26 PM

PUTRAJAYA, 10 Nov (Bernama) -- Kajian terhadap sembilan inisiatif di bawah kerangka MADANI yang dijalankan Universiti Utara Malaysia (UUM) akan dibentang esok, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata hasil kajian berkenaan bagi menilai sejauh mana keberkesanan pelaksanaan program kerajaan kepada rakyat.

"Baru-baru ini kita telah lantik UUM untuk menjalankan kajian dan esok mereka akan bentangkan hasilnya bagi melihat hasil daripada kajian itu," katanya pada sesi libat urus KSN bersama pengarang media di sini hari ini.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Beliau berkata kajian itu dijalankan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan menilai keberhasilan sebenar dasar dan inisiatif di lapangan.

Shamsul Azri berkata setiap kali Program MADANI Rakyat (PMR) diadakan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) turut melaksanakan tinjauan terhadap pengunjung dan peserta program.

"Setiap kali kita adakan PMR, DOSM dan MPC akan buat tinjauan terhadap pengunjung mengenai tiga aspek iaitu keberhasilan program, manfaat kepada rakyat dan persepsi rakyat terhadap kerajaan hari ini," katanya.

Beliau berkata maklum balas daripada tinjauan tersebut akan dianalisis dan diberi markah bagi mengukur tahap kepuasan rakyat terhadap pelaksanaan dasar kerajaan.

"Daripada situ kita akan lihat dan beri markah. Setelah dapat keputusan, kita akan bentangkan kepada Kabinet untuk memaklumkan hasil penilaian itu, berapa peratus rakyat yang berpuas hati dan berapa peratus sebaliknya," katanya.

Beliau berkata pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk menilai dasar secara berasaskan data dan maklum balas rakyat bagi memastikan setiap inisiatif MADANI benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.

Shamsul Azri berkata dalam tempoh setahun pelaksanaan, Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) telah menunjukkan hasil yang ketara dalam memperkukuh kecekapan, integriti dan empati perkhidmatan awam.

Beliau berkata antara pencapaian utamanya ialah Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dengan sebanyak 1,007 projek reformasi telah didaftarkan di seluruh negara, iaitu 97 projek siap dilaksanakan, menjana penjimatan kos pematuhan berjumlah RM873.5 juta.

Beliau berkata pencapaian itu menunjukkan bahawa reformasi bukan sekadar dasar, tetapi menjimatkan masa, kos dan tenaga rakyat serta perniagaan.

Pencapaian lain termasuk Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) yang menyaksikan 796 sekolah angkat telah dilaksanakan setakat Julai lepas melibatkan peruntukan RM14.3 juta oleh kerajaan serta penyertaan badan korporat. Program itu menyasarkan 1,000 sekolah angkat menjelang akhir 2025.

Hasil pelaksanaan itu turut meningkatkan reputasi Malaysia di peringkat global apabila negara melonjak 11 anak tangga dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025, daripada tangga ke-34 pada 2024 ke tangga ke-23 dunia.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan