JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Urusan Susun Semula Barisan Jemaah Menteri Hak Mutlak Perdana Menteri - Ahmad Zahid

11/11/2025 11:44 AM

PUTRAJAYA, 11 Nov (Bernama) -- Urusan menyusun semula barisan Jemaah Menteri tidak pernah dibincang dalam mesyuarat Kabinet kerana ia merupakan hak mutlak Perdana Menteri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata kuasa untuk merombak Kabinet atau melantik anggotanya terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri.

“Tidak pernah ada perbincangan dalam Kabinet untuk menyusun semula Kabinet... tidak pernah… itu hak mutlak Perdana Menteri yang mempunyai kuasa sepenuhnya untuk merombak Kabinet dan melantik sesiapa yang sepatutnya berada sebagai ahli Jemaah Menteri atau timbalan menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini bagi mengulas sama ada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri petang ini akan membincangkan soal rombakan Kabinet atau hal berkaitan.

Pada 8 Nov lepas, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengesahkan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan melalui kenyataan di Facebook.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata mesyuarat khas yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dijadualkan hanya memfokus kepada isu tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah.

“Ia khusus kepada soal tuntutan 40 peratus yang dipinta oleh sahabat sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri berkata keputusan mengenai tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah akan dimuktamad dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan mendengar pandangan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang sebelum membuat keputusan sama ada memfailkan rayuan atau sebaliknya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan