JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Hadir Ke Sabah Tunai Amanah Rakyat, Bukan Cari Keuntungan Peribadi - Anwar

15/11/2025 11:36 PM

KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kehadirannya ke Sabah bukan untuk meraih keuntungan peribadi, sebaliknya menunaikan amanah memelihara hak dan masa depan rakyat negeri itu.

Beliau berkata sepanjang lebih sedekad memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan, termasuk tempoh sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau tidak pernah mengaut keuntungan di Sabah, kerana prinsip pemerintahannya sentiasa berlandaskan integriti.

“Dah lebih 10 tahun saya jadi menteri, satu balak Sabah pun saya tidak ambil, kontrak pun saya tak ambil, tanah pun saya tak ambil...saya datang untuk jaga rakyat, laksanakan amanah,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega PMX Sayang Sabah di sebuah hotel di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, malam ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata komitmen Kerajaan MADANI adalah untuk memastikan pembangunan Sabah terus diberi perhatian sewajarnya, termasuk melalui langkah bersejarah menyerahkan kembali kawal selia elektrik kepada kerajaan negeri selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut beliau, walaupun kuasa itu telah dipulangkan kepada Sabah, kerajaan negeri memaklumkan bahawa mereka berdepan kekurangan dana untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik, menyebabkan Kerajaan Persekutuan menyalurkan tambahan RM1.2 bilion bagi memastikan isu berkenaan ditangani secara menyeluruh.

“Ini hak Sabah dan kita pulangkan, tetapi bila Sabah kata tidak cukup wang, kita terus bantu sebab ini amanah,” katanya yang turut memaklumkan lebih 1,000 tiang elektrik solar sudah dipasang di kawasan pedalaman Sabah melalui inisiatif Solar MADANI menjadikan negeri itu antara penerima terawal program berkenaan.

Anwar berkata Kerajaan Persekutuan juga tidak memandang remeh rungutan rakyat mengenai infrastruktur asas seperti jalan raya kerana beliau sendiri merasai pengalaman melalui jalan berlubang ketika lawatan kerja di negeri ini. 

Mengenai isu ekonomi rakyat, Anwar berkata peningkatan gaji minimum adalah bukti komitmen kerajaan untuk memperbaiki taraf hidup pekerja.

Beliau berkata gaji minimum yang sebelum ini RM1,200 telah dinaikkan kepada RM1,500, dan kini RM1,700, sambil menegaskan bahawa kerajaan optimis untuk terus meningkatkan kadar itu sekiranya kedudukan ekonomi negara bertambah baik.

“Kalau keadaan ekonomi ini baik, saya yakin kita boleh naik lagi gaji,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan