JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

LPPSA Teruskan Skim Muda Bantu Penjawat Awam Muda Miliki Rumah Awal

16/11/2025 06:21 PM

PUTRAJAYA, 16 Nov (Bernama) -- Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan melanjutkan Skim Muda selepas program percubaan setahun itu menerima sambutan jauh lebih tinggi daripada jangkaan, sekali gus memperkukuh usaha membantu penjawat awam muda memiliki rumah pertama lebih awal.

Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA Mohd Farid Nawawi berkata skim yang disasarkan kepada penjawat awam berusia bawah 30 tahun itu menerima permohonan yang stabil dan memberangsangkan sejak dibuka pada April 2025.

“Alhamdulillah, kita baru mulakan skim ini setahun lalu. Pada awalnya ia dibuka untuk tempoh percubaan setahun sahaja. Namun apabila melihat sambutan yang sangat baik, kita lanjutkan lagi setahun. Jika momentum ini kekal positif, kita akan pertimbangkan untuk melanjutkannya sekali lagi,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Setakat Oktober, skim itu merekodkan 2,596 permohonan bernilai RM208 juta dan daripada jumlah itu, sebanyak 304 permohonan bernilai RM95 juta telah diluluskan dalam tempoh enam bulan pertama.

Mohd Farid berkata Skim Muda menawarkan tempoh pembiayaan sehingga 40 tahun berbanding 35 tahun sebelum ini, yang memberikan dua kelebihan utama kepada peminjam iaitu kelayakan pinjaman lebih tinggi dan bayaran bulanan yang lebih rendah.

“Kalau mula meminjam pada umur 30 tahun, pilihan rumah lebih luas dan bayaran bulanan lebih ringan. Kita mahu anak muda membeli rumah lebih awal... belilah rumah mengikut kemampuan terlebih dahulu, kemudian barulah naik taraf apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Beliau berkata purata pinjaman di bawah LPPSA kini berjumlah RM341,000 berbanding RM295,000 pada 2020, selari dengan kenaikan harga rumah dan perubahan kemampuan peminjam.

Mengenai kelayakan pembiayaan, beliau berkata penjawat awam yang disahkan dalam perkhidmatan layak memohon sehingga 80 peratus daripada gaji bersih, namun jumlah kelulusan tetap bergantung kepada kemampuan sebenar peminjam.

“Kalau gaji bersih hanya layak RM350,000, itu sahaja yang kita luluskan walaupun harga rumah RM500,000... ini penting bagi mengelakkan bebanan jangka panjang,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa LPPSA akan menaikkan had maksimum pembiayaan daripada RM750,000 kepada RM1 juta, bagi membolehkan penjawat awam membeli rumah yang lebih selesa seiring perubahan harga pasaran.

Jika harga rumah melebihi RM1 juta, pembeli boleh mendapatkan pembiayaan tambahan daripada rakan strategik LPPSA seperti BSN, Bank Islam dan Bank Muamalat.

Dalam pada itu, bagi memastikan kapasiti pembiayaan kekal kukuh, LPPSA baru-baru ini memperoleh pembiayaan berjumlah RM1 bilion daripada HSBC Amanah Malaysia Bhd untuk memperluas kemampuan menyalurkan pinjaman perumahan kepada penjawat awam.

Kerjasama itu adalah inisiatif pendanaan alternatif pertama LPPSA melalui fasiliti Pembiayaan Amaun Belum Terima Islam (RF-i) tanpa Jaminan Kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohd Farid berkata pembiayaan itu memberi ruang lebih besar kepada LPPSA untuk memenuhi permintaan daripada hampir 1.6 juta penjawat awam yang layak.

“Inisiatif ini membolehkan LPPSA memainkan peranan lebih besar dalam membantu penjawat awam mendapatkan pembiayaan perumahan serta merealisasikan aspirasi mereka memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Mohd Farid, yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam sektor perbankan, berkata kelebihan terbesar LPPSA ialah kadar keuntungan tetap empat peratus sepanjang tempoh pembiayaan.

“Saya sendiri cemburu sebab saya tidak layak. Kadar empat peratus ini kekal dan tidak berubah apabila OPR naik. Pada zaman krisis 1997 dan 1998, kadar faedah naik sehingga 14 peratus. Jadi kadar tetap empat peratus ini satu kelebihan besar bagi peminjam,” katanya.

LPPSA kini menguruskan 771,671 fail aktif dengan nilai aset pembiayaan berjumlah RM119 bilion dan daripada jumlah itu kira-kira 700,000 peminjam masih berkhidmat dalam sektor awam.

“Penjawat awam seramai 1.7 juta. Ini bermaksud satu juta lagi belum meminjam dengan LPPSA. Potensi pertumbuhan masih besar,” katanya sambil menambah bahawa LPPSA menyalurkan pembiayaan kira-kira RM900 juta setiap bulan, manakala kutipan balik bulanan berada antara RM700 juta dan RM800 juta.

Mohd Farid turut menyarankan penjawat awam agar membeli rumah seawal mungkin dan meneliti rekod pemaju sebelum menandatangani sebarang perjanjian.

“Ini keistimewaan penjawat awam. Ia hanya menjadi manfaat jika digunakan... jadi jangan tangguh. Buat semakan pemaju dan pastikan projek mampu disiapkan,” katanya.

LPPSA juga membantu peminjam yang terjejas akibat projek sakit atau bencana seperti banjir melalui penangguhan potongan gaji atau pengurangan bayaran sementara menunggu pemulihan projek.

Beliau turut menekankan komitmen LPPSA dalam memperkukuh tadbir urus melalui penubuhan Jabatan Corporate Assurance yang menggabungkan fungsi risiko, pematuhan dan integriti.

“Alhamdulillah, dalam lima tahun saya di sini, tiada siasatan SPRM atau isu integriti. Itu perkara yang kita jaga,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan