JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Selangor Proses Mantapkan Sistem Pengesanan Ancaman Siber Melalui Siem - Exco

17/11/2025 02:16 PM

SHAH ALAM, 17 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor kini dalam proses memantapkan sistem pemantauan dan pengesanan ancaman melalui pelaksanaan Security Information and Event Management (SIEM) dengan sokongan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memperkukuh pertahanan keselamatan siber secara menyeluruh.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata langkah itu bertujuan menyediakan analisis berpusat terhadap log keselamatan serta keupayaan amaran awal berasaskan automasi.

“Melalui integrasi SIEM, kerajaan negeri dapat meningkatkan kebolehan mengesan insiden keselamatan secara masa nyata serta mempercepatkan tindakan mitigasi,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Datuk Abdul Rashid Asari (Bebas-Selat Klang) mengenai langkah kerajaan negeri memperkukuh pertahanan siber bagi melindungi data rakyat susulan peningkatan serangan siber global terhadap sektor awam.

Mohammad Fahmi berkata kerajaan negeri juga sedang menilai keperluan mengintegrasikan Threat Intelligence Platform (TIP) untuk mendapatkan maklumat ancaman global secara proaktif, seterusnya memperkukuh sistem amaran awal terhadap taktik dan teknik serangan siber terkini.

“Selain itu, kerajaan negeri turut mempertimbangkan pelaksanaan Extended Detection and Response (XDR) yang menyediakan perlindungan menyeluruh merentas rangkaian, peranti, pelayan dan aplikasi, sekali gus menawarkan gambaran ancaman yang lebih holistik,” katanya.

Beliau berkata Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah dilantik sebagai Ketua Sektor NCII (National Critical Information Infrastructure) melalui surat yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Jan 2025, sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854).

Mohammad Fahmi berkata kerajaan negeri melalui Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, sedang aktif menyediakan Tataamalan (Code of Practice) Keselamatan Siber sebagai pematuhan terhadap Akta Keselamatan Siber 2024.

“Tataamalan Keselamatan Siber ini akan diguna pakai oleh semua agensi atau jabatan di bawah Kerajaan Negeri yang akan dikenal pasti sebagai Entiti NCII (National Critical Information Infrastructure),” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri turut menjalin kerjasama strategik dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi memperkukuh keupayaan teknikal dan meningkatkan kesiapsiagaan terhadap sebarang ancaman siber.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan