JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Laut China Selatan Perlu Kekal Sebagai Zon Aman Demi Pertumbuhan Ekonomi Serantau - Hasbi

17/11/2025 03:36 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Laut China Selatan tidak boleh dibiarkan terdedah kepada ancaman atau provokasi kerana sebarang peningkatan ketegangan di perairan strategik itu akan memberi kesan terhadap ekonomi serantau yang berkembang pesat termasuk Malaysia.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata tekanan ekonomi global yang meningkat akibat ketidakstabilan perdagangan dan tarif telah memberi kesan kepada rantau ini, lebih-lebih lagi Laut China Selatan merupakan laluan maritim utama bagi perdagangan dunia.

Beliau berkata Malaysia komited untuk memastikan Laut China Selatan kekal sebagai zon aman dan kerjasama, bukannya pertikaian, selaras kepentingan perairan terbabit terhadap laluan maritim global dan ekonomi negara.

“Sebagai sebuah negara maritim, ekonomi Malaysia sangat bergantung kepada laut. Hampir 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) adalah daripada aktiviti maritim, dengan lebih 98 peratus jumlah perdagangan dihantar melalui laluan laut. 

“Pada 2024, jumlah pengendalian perdagangan maritim Malaysia melebihi 778 juta tan, sekali gus menjadikan pelabuhan Malaysia tersenarai antara 20 pelabuhan utama dunia bagi pengendalian kontena,” katanya ketika merasmikan Persidangan Laut China Selatan Institut Maritim Malaysia (MIMA) 2025 di sini hari ini.

Hasbi berkata Laut China Selatan juga kekal sebagai koridor maritim penting, yang mengendalikan 21 peratus perdagangan global bernilai USD3.37 trilion setahun.

Selain perdagangan, beliau berkata perairan itu juga kaya dengan dengan sumber marin dan tenaga, termasuk satu daripada kawasan penangkapan ikan paling produktif di dunia dengan dianggarkan memiliki 190 trilion kaki padu gas asli dan 11 bilion tong minyak.

Merujuk situasi geopolitik pada masa ini, Hasbi berkata konflik di Ukraine dan Timur Tengah telah memperlihatkan bagaimana ketidakstabilan di darat boleh menjejaskan rantaian bekalan maritim.

Beliau memberi contoh situasi di Selat Bab el-Mandeb menyebabkan pengurangan 80 peratus dalam kehadiran kapal dan jumlah kargo di sepanjang Laut Merah pada 2024.

“Perkembangan ini mengingatkan kita bahawa ketidakstabilan di mana-mana mampu memberi kesan kepada keselamatan maritim di seluruh dunia,” katanya sambil menambah melindungi Laut China Selatan daripada risiko seumpamanya adalah sangat penting.

Hasbi turut mengulangi komitmen Malaysia untuk melindungi komuniti pesisir dan memelihara sumber pendapatan maritim, di samping menyeru agar dialog berterusan, usaha membina keyakinan serta pematuhan tegas terhadap undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS 1982).

Sementara itu, Pengerusi MIMA Datuk Mohamed Suffian Awang berkata persidangan tahun ini yang mengangkat tema Regional Unity and Strategic Resolve in the South China Sea selari dengan Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia yang menekankan keterangkuman, kestabilan dan pembangunan mampan.

Beliau berkata perubahan dinamik serantau, persaingan geopolitik dan cabaran kemanusiaan terus menguji daya tahan Asia Tenggara, sekali gus menekankan kepentingan penglibatan yang konstruktif.

Mohamed Suffian berkata Laut China Selatan penting sebagai laluan utama bagi kesalinghubungan sejagat yang menempatkan kabel komunikasi bawah laut yang luas dan penting bagi infrastruktur digital antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan