JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Warga Emas Dijangka Merangkumi 14 Peratus Populasi Negara Menjelang 2048

17/11/2025 05:06 PM

KOTA BHARU, 17 Nov (Bernama) -- Golongan warga emas dijangka merangkumi kira-kira 14 peratus daripada keseluruhan populasi negara menjelang 2048.

Pengarah Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Mohd Shahrim Hussin berkata berikutan itu kerajaan telah melancarkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045. 

Beliau berkata rangka tindakan itu mengguna pakai pendekatan sepanjang hayat untuk mempersiapkan Malaysia menghadapi impak negara tua menjelang 2048.

“Ia menekankan enam bidang utama, termasuk ekonomi, pekerjaan, pendidikan, perlindungan sosial, kesihatan dan penjagaan jangka panjang yang menjadi panduan kepada JPA dalam usaha berterusan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada pesara.

“Sama ada melalui pendigitalan proses pencen, pemantapan data pesara atau kerjasama antara agensi, matlamat JPA adalah untuk memastikan setiap pesara menerima manfaat dengan lebih cepat dan cekap, selaras dengan aspirasi JPA sebagai Peneraju Pembaharuan, Penggerak Perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Anugerah MyPesara 2025 sempena Karnival MyPesara di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) Datuk Nik Amlizan Mohamed.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula pada Jumaat lepas itu, menampilkan pelbagai aktiviti yang mempromosikan penuaan aktif, pemerkasaan kewangan dan kesejahteraan komuniti, selaras dengan prinsip MADANI Rakyat Disantuni.

Sementara itu, mengulas mengenai Majlis Anugerah MyPesara serta Karnival MyPesara berkenaan, Datuk Mohd Shahrim Hussin berkata inisiatif itu memperlihatkan komitmen berterusan untuk mendekati komuniti pesara secara lebih holistik, bukan sekadar melalui dasar dan sistem, tetapi juga melalui pengiktirafan, sokongan, dan penglibatan masyarakat.

Terdahulu menerusi Anugerah MyPesara, pemenang bagi setiap kategori, iaitu Wan Noriah Wan Ramli (Sosial & Khidmat Masyarakat), Dr. Abas Mazni Othman pengasas The Plot (Keusahawanan), serta Profesor Emeritus Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan (Pendidikan) memenangi wang tunai RM10,000 setiap seorang.

Sementara itu, kategori utama Anugerah MyPesara 2025 dimenangi oleh pengasas Min House Camp, Wan Noriah Wan Ramli, 69, yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM50,000.

Wan Noriah berkata wang kemenangan itu akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan Orang Kurang Upaya (OKU) di Min House Camp yang menjadi pusat komuniti OKU serta ekopelancongan di Kelantan.

“Sehingga kini terdapat kira-kira 180 OKU yang mendapatkan khidmat latihan di Min House Camp. Pusat komuniti yang dibangunkan pada 2010 itu menggunakan wang pencen saya sebagai Penolong Pendaftar di Universiti Sains Malaysia (USM).

“Pusat komuniti itu kini menjadi model nasional pembangunan komuniti inklusif berasaskan alam sekitar yang menggabungkan penciptaan sumber pendapatan dengan pemeliharaan alam khususnya kepada golongan OKU.

“Malah, ia juga turut mendapat geran bantuan daripada beberapa kementerian dan jabatan termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, serta lain-lain,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan